Friday 28 February 2020

PALAPES PUSAT PENGAJIAN TINGGI DAPAT SAMBUTAN MAHASISWA

Di pusat pengajian tinggi awam (IPTA) terpilih terdapat program dinamakan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) atau Reserve Officer Training Unit (ROTU).

Program PALAPES terbuka kepada semua siswa dan siswi yang mengikuti pengajian sekurang-kurangnya selama tiga tahun. Mereka juga perlu memenuhi syarat fizikal dan kesihatan seperti ditetapkan untuk anggota tentera tetap.

Sukatan pelajaran atau latihan untuk anggota PALAPES secara keseluruhan sama seperti diikuti oleh pegawai kadet tetap di pusat latihan tentera.

Perbezaan program PALAPES berbanding pegawai kadet tetap hanya dari segi kaedah latihan dijalankan. Program PALAPES dijalankan secara sambilan selama tiga tahun, manakala latihan pegawai kadet tetap dijalankan sepenuh masa dalam jangkamasa yang lebih pendek.

Program PALAPES merangkumi kurikulum ketenteraan secara amali dan teori. Ia meliputi latihan kawat (pelbagai kawat), senjata, ilmu medan perang, semboyan, pentadbiran, kepimpinan, undang-undang tentera, moral, agama, etika, perhubungan dan jasmani.

Latihan untuk anggota PALAPES dikendalikan sepenuhnya oleh jurulatih anggota tentera tetap. Ia diadakan di kawasan bersesuaian dengan keperluan latihan seperti di kem tentera, pusat latihan dan hutan, selain di kawasan sekitar kampus.

Anggota PALAPES mendapat hak yang sama seperti anggota tentera simpanan lain. Segala kelengkapan berkaitan ketenteraan disediakan oleh angkatan tentera. Selain itu, anggota PALAPES juga layak mendapat elaun dan kemudahan lain ketika menjalani latihan.

Selain menimba ilmu ketenteraan, program PALAPES juga diambil kira sebagai sebahagian daripada syarat keperluan kokurikulum yang ditetapkan oleh sesetengah IPTA. Justeru, penyertaan di dalam PALAPES dimasukira dalam kelulusan keseluruhan pengajian akademik.

Latihan PALAPES dilaksanakan selama 3 tahun. Tahun pertama adalah Peringkat Junior, tahun kedua adalah Peringkat Intermediate dan tahun Ketiga adalah Peringkat Senior. Pada dasarnya jenis Latihan yang dijalankan di PALAPES adalah mirip kepada Latihan Kadet Angkatan tetap ATM. 

Pegawai kadet PALAPES yang berjaya menamatkan latihan penuh selama tiga tahun dan lulus semua syarat ditetapkan akan ditauliahkan sebagai pegawai simpanan angkatan tentera mengikut cabang perkhidmatan latihan yang diikuti iaitu sama ada darat, laut atau udara.

Selepas menamatkan pengajian, mereka dikehendaki melapor diri di mana-mana pasukan Siri 500 Askar Wataniah bagi tentera darat dan unit atau pangkalan yang ditetapkan untuk tentera laut dan udara yang berdekatan tempat tinggal masing-masing sebagai pegawai simpanan.

Mereka juga berpeluang menjadikan bidang ketenteraan sebagai kerjaya dengan menyertainya di bawah skim pegawai kerahan, Skim Graduan atau Tauliah Tugas Iktisah. 

Mereka berpeluang ditugaskan mengikut bidang kemahiran masing-masing selaras dengan pemodenan sistem pertahanan negara yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar dalam pelbagai bidang.    

No comments:

Post a Comment