Monday 29 November 2021

CARA PENETAPAN HUKUM KAEDAH SAD AL-ZARIAH

Sad al-zariah adalah sebahagian sumber hukum yang diterima pakai dalam Islam. Pun begitu, Sad al-zariah termasuk dalam kategori sumber hukum yang diperselisihkan. Sad al-zariah berasal dari perkataan sad dan al-zariah. 

Dari segi bahasa, sad memberi maksud sekat atau halang. Manakala al-zariah bermaksud jalan. 

Dari segi istilah mengikut al-Qarrafi, sad al-zariah ialah menghentikan jalan-jalan yang pada kebiasaannya menuju kerosakan.

Perkara ini dapat difahami antara lain berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anam, ayat 108 yang bermaksud: “Allah melarang mencaci tuhan-tuhan orang kafir supaya mereka tidak mencaci Allah.”

Dengan kata lain, segala perbuatan yang boleh membawa ke arah mafsadah atau kerosakan, maka ia ditegah dalam Islam. 

Ulama telah membahagikan mafsadah kepada beberapa kategori atau tahap. 

Tahap pertama ialah apa yang ditegah nyata membawa keburukan mutlak kepada masyarakat, contohnya larangan merosakkan harta benda orang lain atau awam. 

Dalam amalan di Malaysia, kerajaan melarang dilakukan pembalakan haram kerana ia mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar kerana boleh merugikan dan mendatangkan mudarat seperti kesan kekurangan bekalan air apabila hutan yang menjadi tapak tadahan hujan dirosakkan.  

Tahap kedua ialah perbuatan haram dilakukan untuk mendapat maksud yang harus, contohnya melakukan jenayah mencuri untuk diberikan kepada orang lain.

Dalam hal ini konsep yang sedemikian boleh disamakan seperti matlamat menghalalkan cara, sedangkan sebenarnya apapun matlamat yang ingin dicapai, mastilah berdasarkan cara dan kaedah yang betul.

Kategori ketiga pula ialah perkara yang ada keburukan, tetapi kemaslahatannya lebih menonjol. Contohnya diharuskan memakan bangkai sekadar untuk menolak perkara buruk, contohnya maut jika tidak memakannya disebabkan tidak ada sumber makanan lain. 

Inilah antara alasan yang diberikan oleh kerajaan apabila membenarkan penerokaan tanah baharu untuk pertanian atau penempatan. Walaupun tindakan itu merosakkan alam semula jadi, tetapi kesan kebaikan perbuatan itu lebih diperlukan. 

Manakala tahap keempat pula ialah perkara yang ada unsur masalahah, namun unsur keburukannya adalah lebih banyak. Contohnya, seseorang yang ditegah memandu laju biarpun kebaikan akan menyebabkan cepat sampai, tetapi perbuatan itu boleh membahayakan diri sendiri dan orang lain. 

Maka perbuatan itu ditegah atau haram. Oleh sebab itu, di Malaysia terdapat had laju ditetapkan berdasarkan kepada kesesuaian di sesuatu tempat.

Gambar: Apa hukum mengambil buah pisang yang padanya ada bahaya sarang tebuan

No comments:

Post a Comment