Sunday 13 February 2022

ILMU MANTIK BERFIKIR SECARA LOJIK

 
Salah satu cabang berfikir yang diamalkan ialah berasaskan logik. Ia dikenali di dunia Islam dengan istilah mantiq.

Pada dasarnya pengertian ilmu mantik telah banyak didefinisikan oleh para ulama dan pakar ilmu mantik dengan pengertian yang pelbagai, miskipun pada hakikat dan tujuannya adalah sama iaitu mengungkapkan makna mantik sebagai suatu kata yang difahami secara jelas untuk sebuah disiplin ilmu.

Ilmu mantik merupakan bahasa Arab dan merupakan terjemahan dari kata logik. Oleh sebab itu ilmu mantik juga biasa disebut sebagai ilmu logik.

Justeru, teknik berfikir logik adalah merupakan suatu ilmu yang membahas tentang kaedah-kaedah yang dapat membimbing manusia dalam berfikir, supaya dapat menghasilkan kesimpulan yang benar, sehingga dia terhindar dari kesalahan berfikir, yang akhirnya menghasilkan kesimpulan yang salah dan keliru.

Ilmu mantik sering disebut ibu segala ilmu atau dikatakan ilmu dari segala yang benar kerana ilmu mantik ialah sebagai alat untuk menuju ilmu yang benar atau kerana ilmu yang benar perlu pengarahan mantik.

Ilmu mantik dipercayai bermula sejak abad ke 5 SM oleh para ahli falsafah kuno Yunani. Dalam sejarah, telah tercatat bahawa pencetus pemikiran mantik ialah Socrates yang kemudian diteruskan oleh Plato dan disusun dengan rapi sebagai dasar falsafah oleh Aristoteles.  

Dalam dunia Islam, tokoh ilmu mantik yang terkenal ialah al-Farabi. Pada masa al-Farabi ilmu mantik dipelajari lebih mendalam dan diamalkan.

Tokoh-tokoh ilmu mantik Islam termasuklah Abdullah Ibn Al-Muqaffa, Yakub Ibnu Ishak Al-Kindi, Ibnu Sina, Abu Hamid Al-Ghazali, Ibnu Rusyd Al-Qurtubi, Abu Ali Al-Haitsam, Abu Abdillah Al-Khawarizmi, Al-Tibrisi, Ibnu Bajah, Al-Asmawi, As-Samarqandi dan lain sebagainya.

Kegunaan yang sangat jelas pada ilmu mantik ini ialah untuk dapat berfikir dengan benar hingga sampainya seseorang pada kesimpulan yang benar tanpa mempertimbangkan keadaan dan situasi yang kemungkinan dapat mempengaruhi seseorang.

Jika demikian, kesimpulannya ialah setiap orang harus mempelajari ilmu mantik agar dalam mengambil kesimpulan seseorang tak lagi salah. 

Ilmu mantik akan membawa sampai pada kesimpulan yang benar. Oleh sebab itulah ilmu mantiq disebut sebagai jambatan dari segala ilmu.

No comments:

Post a Comment