Wednesday 18 May 2022

SAMBUT RAYA SEBULAN

 
Puasa sebulan, raya pun sebulan. Bahkan, ada yang masih ada rumah terbuka selepas Syawal disebabkan tidak sempat mengadakan pada bulan Syawal. Benarkah raya pun sebulan kerana puasa sebulan?

Sebenarnya tidak begitu. Raya yang dianjurkan atau disebut sebagai Aidilfitri hanya pada 1 Syawal. Pun begitu tidak salah untuk terus merayakan untuk maksud kebaikan.

Budaya sambut Aidilfitri secara meriah dan berterusan dalam tempoh panjang sebenarnya hanya berlaku di Nusantara. Di negara Arab, sambutannya hanya dua atau tiga hari saja. Selebihnya dalam bulan Syawal mereka melakukan puasa sunat enam dan aktiviti seperti bulan lain.

Aidilfitri adalah hari kemenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang melaksanakan ibadat puasa Ramadan. Pari kemenangan itu perlu disambut dengan perasaan gembira, namun dalam batasan syariat.  

Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid, sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi hari raya.

Sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya (Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya pada hari dimatikan segala hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)

Malang sekali apabila malam raya dan hari-hari seterusnya disambut dengan bunyi mercun dan bunga api. Riuh bunyi detuman mercun dan bunga api memecah kesunyian malam. Ternyata sekali itu bukan tuntutan agama. Islam menegah melakukan perkara yang membazir dan membahayakan keselamatan.

Aidilfitri bukan sambutan berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah yang termasuk dalam ibadat. Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut tuntutan syariat dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang dilarang. 

Namun dalam melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita mengetahui mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual atau adat dalam masyarakat.

Sungguh jauh berbeza antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya berupa adat. Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana Allah SWT dan tidak bercampur dengan perkara maksiat. Sedangkan adat mengikut kebiasaan yang diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat. 

Tidak dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak bertentangan syariat.

Beraya sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan terkeliru antara adat dan ibadat.  

Adat yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi mesti tidak bertentangan dengan syariat.

Ibadat dan adat, kedua-duanya dipatuhi dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya berbeza. Ibadat bersumberkan daripada perintah Allah SWT, sementara adat pula bersumberkan kehendak dan kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan turun-temurun.

Kejahilan pengetahuan mengenai agama menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat apa-apa pahala biarpun dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang lebih menjurus kepada adat. 

Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang menjadi ibadat atau diterima sebagai satu amalan dalam Islam.  

No comments:

Post a Comment