Friday 27 January 2023

SENTIASA INGAT TENTANG DOSA SENDIRI

 
Jika kita selalu mengingati dosa kita, kita tidak nampak dosa orang lain, apatah lagi hendak menceritakannya.
 
Jika kita membuat dosa, tidak terasa berdosa, kita telah membuat dua kali dosa. Satu kerana dosa yang dibuat, kedua, dosa kerana tidak merasa berdosa.
 
Berasalah diri kita sentiasa berdosa, sekalipun kita tidak nampak dosa kita, apatah lagi jika nampak, agar kita dapat mengekalkan sifat kehambaan, yang kita ini memang hamba.
 
Kalau orang telah mengabaikan dosa dosa zahir, dosa dosa batin lebih lebih lagi terabai.
Meninggalkan dosa dosa zahir mudah daripada meninggalkan dosa dosa batin.
 
Kita dianjurkan berdoa agar dihindarkan daripada maksiat sebagaimana hadis bermaksud: "Ya Allah ampunkan baginya, bersihkan hatinya (daripada memikirkan sesuatu maksiat) dan peliharalah kemaluannya (daripada melakukan zina)." (Hadis riwayat Ahmad)
 
Di samping itu, perasaan takut terhadap kemurkaan dan balasan Allah SWT dapat mencegah daripada perbuatan maksiat selain perasaan cinta dan keinginan untuk mendapatkan balasan syurga Allah SWT.
 
Firman Allah SWT di dalam surah An-Nur ayat 63 yang bermaksud: "Janganlah kamu jadikan seruan atau panggilan Rasulullah di antara kamu seperti seruan atau panggilan sesama kamu, sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang di antara kamu yang menarik diri keluar (dari majlis Nabi) secara berselindung dan bersembunyi. Oleh itu, hendaklah mereka yang mengingkari perintahnya, beringat serta berjaga-jaga jangan mereka ditimpa bala bencana atau ditimpa azab seksa yang tidak terperi sakitnya."
 
Kita juga dianjurkan agar melakukan amalan kebaikan secara berterusan agar dapat membantu melakukan perubahan diri ke arah kebaikan.
 
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: "Bertakwalah kamu kepada Allah di mana saja kamu berada dan ikutilah setiap perbuatan dosa dengan amal kebaikan, nescaya ia akan menghapuskan dosa. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik." (Hadis riwayat Tirmizi)

No comments:

Post a Comment