Monday 13 February 2023

SEKAT FAHAMAN SEBABKAN PERPECAHAN

 
Wujudnya perpecahan di kalangan umat Islam adalah disebabkan kumpulan-kumpulan kecil yang cuba menonjolkan diri bahawa mereka yang lebih benar, lebih mulia dalam memperjuangkan Islam yang suci sehingga memusuhi pemimpin seagama dan sanggup berkawan dengan musuh Islam yang nyata dan jelas.
 
Perkembangan mutakhir ini amat menyedihkan dan membimbangkan. Umat Islam berpecah kerana ada kelompok cuba menegakkan sesuatu yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah sehingga meninggalkan perpaduan sesama Islam. 

Fahaman liberal semakin marak yang diperjuangkan kelompok yang mengaku profesional. Kedudukan mereka yang dianggap ’cerdik’ dan ’hebat’ mudah mendapat sokongan daripada orang kebanyakan.
 
Mereka menggunakan pengaruh yang ada untuk memperjuangkan sesuatu yang bersifat liberal seperti hak sama rata, berkahwin sama jantina, bebas mengamalkan ajaran agama mengikut fahaman sendiri dan sebagainya.
 
Perlembagaan negara telah memberikan kedudukan istimewa kepada agama Islam dan ia harus dijaga dan tidak boleh membiarkan sama sekali orang lain mengganggu gugatnya. 

Seluruh muslim perlu bersatu melawan sebarang bentuk penyelewangan dalam urusan agama. Fahaman atau amalan yang bertentangan dengan Ahli Sunnah wal-Jamaah perlu ditolak.
 
Kita perlu bersatu dan menghindar sebarang bentuk perpecahan. Perpecahan dalam apa jua alasan akan menyebabkan kuasa dan kedudukan Islam tergugat. Dalam keadaan lemah, akan ada musuh Islam mengambil kesempatan mewujudkan keadaan yang lebih mendatangkan keburukan. 
 
Perpaduan sesama umat Islam amat penting. Biar apa pun perbezaan ideologi politik marilah kita bersatu kembali dan lupakan persengketaan, kembali kepada kepada perintah Allah SWT bahawa hendaklah kamu sentiasa memperbaiki saudara-saudara kamu.

No comments:

Post a Comment