Sunday 28 May 2023

JASAMU DIKENANG, SELAMAT BERSARA

 
Kita tidak selama-lamanya berada pada satu pekerjaan atau kedudukan dalam sesuatu jawatan. Setiap perkara yang kita lakukan ada had atau batasnya. Akan tiba masa kita melepaskan tugas dan jawatan kepada orang lain. 

Biarpun kita masih ingin meneruskan tugas, memegang jawatan atau melakukan aktiviti tersebut, kita kena sedar bahawa tidak mungkin kita mampu melakukan selama-lamanya.
 
Bahkan, insaflah kemungkinan lebih lama kita meneruskannya, lebih banyak keburukan akan berlaku. Jadi, sebelum ia merosakkan segala-galanya apa yang telah kita bina selama ini, eloklah bersara.
 
Bersara adalah berhenti bekerja kerana telah sampai tempoh masa perkhidmatan atau usia bersara wajib. Bersara juga bererti berhenti melakukan sesuatu aktiviti yang dilakukan sebelum itu seperti bersukan, hobi, berpersatuan dan sebagainya.
 
Bersara daripada melakukan perkara buruk adalah persaraan paling bererti. Berubah daripada perkara buruk kepada kehidupan lebih baik.
 
Persaraan adalah salah satu peristiwa penting dalam kehidupan setiap orang. Ia menandakan bahawa perjalanan sebelum ini perlu ditamatkan. Berbanggalah dengan apa yang telah kita lakukan sebelum ini.  
 
Bersara bukan pengakhiran kehidupan. Bahkan, ia satu permulaan kepada sesuatu yang baharu atau meneruskan apa-apa yang sebelum ini tidak dapat dilakukan sepenuhnya disebabkan beban tugas sebelum bersara.
 
Nikmati, kehidupan selepas bersara dengan ceria dan bahagia.

No comments:

Post a Comment