Sunday 3 September 2023

NANGKA KAYA KHASIAT

 
Banyak buah-buahan tempatan kaya dengan khasiat tersendiri kini bukan sahaja untuk ditanam bagi memenuhi permintaan pasaran tempatan, malah bagi tujuan eksport.
 
Antaranya nangka atau nama saintifiknya Artocarpus heterophyllus iaitu buah berasal dari negara tropika termasuk Malaysia.
 
Nangka terkenal dengan saiznya yang besar dan bentuk buah berstruktur seperti serat.
 
Industri nangka tanaman tumpuan yang berpotensi diketengahkan sebagai sumber sektor pertanian negara memandangkan nangka ada pasaran besar dan berpotensi diterokai. Ada enam nangka popular di Malaysia iaitu J29, NS1 (J31), Mantin (J32), Tekam Yellow (J33), Mastura (J37) dan Crystal Jackfruit 3 (J40).
 
Paling mendapat sambutan dan banyak ditanam di Malaysia adalah Tekam Yellow (J33) dan Mastura (J37) serta buat masa ini hanya Tekam Yellow (J33) yang mempunyai potensi pasaran komersial.
 
Untuk antarabangsa, permintaan semakin meningkat disebabkan peningkatan kesedaran global terhadap makanan yang sihat dan berkhasiat.
 
Buah nangka yang kaya dengan nutrisi dan serat semakin diminati sebagai makanan alternatif yang seimbang juga sesuai dengan trend penggunaan makanan organik dan makanan 'plant-based' yang makin popular di negara Kesatuan Eropah dan negara Timur Tengah.
 
Menyentuh khasiat nangka, ia membantu dalam penurunan tekanan darah dan meningkatkan peredaran darah dalam badan.
 
Ia juga kaya dengan vitamin A dan C (antioksida) yang membantu menguatkan sistem daya tahan badan terhadap serangan penyakit selain memelihara kesihatan mata dan kulit.
 
Nangka juga mempunyai kandungan zat mineral yang agak tinggi seperti kalsium, fosforus, natrium dan kalium serta kandungan beberapa vitamin.
 
Selain sebagai sumber khasiat, daun nangka sering digunakan sebagai makanan ternakan terutama untuk kambing dan lembu.
 
Bahagian batang pokok nangka pula agak keras dan kurang diserang anai-anai (termites), kulat serta bakteria sesuai dijadikan perabot.

No comments:

Post a Comment