Wednesday 11 October 2023

Fahmi bertemu pengurusan tertinggi TikTok

 
Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital pada 12 Oktober 2023 telah bertemu pengurusan tertinggi TikTok diketuai Naib Presiden Global TikTok, Helena Lersch untuk mendapatkan penjelasan berhubung beberapa isu berbangkit susulan peningkatan penyebaran berita palsu di platform media sosial itu serta operasi TikTok Shop di Malaysia.
 
Dalam perbincangan tersebut, Fahmi menegaskan bahawa TikTok perlu beroperasi mengikut garis panduan dan undang-undang Malaysia. TikTok juga mesti lebih proaktif mengekang penularan berita palsu dan bahan berbaur fitnah yang disebarkan di platform berkenaan, termasuk penularan yang bersifat ‘Coordinated Inauthentic Behaviour’ (CIB).
 
Turut ditekankan ialah pematuhan TikTok terhadap undang-undang Malaysia masih tidak memuaskan, dan hal ini mesti diperbetul segera.
 
Dalam pertemuan tersebuat, pihak TikTok mengakui terdapat kelemahan dalam respons mereka berikutan ketiadaan wakil di Malaysia pada ketika ini.
 
Justeru, Fahmi menegaskan perlunya TikTok mencari solusi kepada isu pembelian iklan dan sebaran kandungan di platform terbabit. Ini berikutan aduan daripada gedung-gedung perniagaan, orang awam dan agensi media yang sangat terkesan akibat iklan yang ditempah terus dengan platform media sosial.
 
Dalam pertemuan tersebut, TikTok telah memberi jaminan akan meningkatkan kerjasama dengan Kerajaan Malaysia. Sehubungan dengan itu, mereka memberi komitmen untuk mengadakan pertemuan lanjut pada kadar segera untuk menyelesaikan isu-isu ini.

No comments:

Post a Comment