Sunday 1 October 2023

KIAMBANG HIDUP DI PERMUKAAN AIR

 
Kiambang (Pistia stratoites Linn) ialah sejenis tumbuhan akuatik yang hidup timbul di permukaan air di mana ini sekali gus merupakan spesis tunggal genus Pistia dari keluarga Araceae. Kaimbang juga dikenali dengan nama kembiang, kapu-kapu, apon-apon, kayambang, kayu ambang dan kayu apung.
 
Kiambang tersebar secara meluas di kawasan beriklim tropika seperti di Malaysia dan menjadi tumbuhan penakluk permukaan air yang bermasaalah di sesetengah negara.
 
Tumbuhan ini sekiranya membiak secara dengan tidak terkawal dan padat akan mengganggu saliran air di dalam parit atau tali air di mana kesannya akan mengakibatkan berlaku banjir kilat.
 
Melihat dari dekat bentuknya seakan-akan pokok kobis bunga yang menyebabkannya turut digelar juga sebagai 'kobis air'. Batang dan tangkai tumbuhan seakan keladi ini tidak nyata dapat dilihat di mana tunas daun baru terbentuk pada pangkal daun lama membentuk susunan spiral yang rapat.
 
Daunnya akan berbentuk kelopak bunga beralun menegak. Daunnya kalis air dan mempunyai lapisan seperti lilin dan berbulu di permukaan daun. Anak pokok baru boleh tumbuh dari induk dan terpisah dari pokok utama.
 
Biasanya tumbuhan ini memang mudah dijaga dan berbentuk cantik dimana tumbuhan kiambang ini juga selalu digunakan sebagai pokok hiasan menarik di laman rumah sebagai pokok akuatik.
 
Kiambang juga cepat membiak sehingga boleh melitupi permukaan tasik atau kolam dan menyebabkan tumbuhan dasar air tidak mendapat cahaya matahari secukupnya untuk aktiviti fotosintesis. Akibatnya kandungan oksigen yang rendah akan mempengaruhi ekosistem laman akuatik tersebut kepada kurang baik.
 
Tumbuhan air ini disukai ramai peminat seni taman kerana keindahan pokok bunga kecilnya selain daunnya yang berbentuk kelopak bunga tersusun indah dan terapung di permukaan air.
 
Kiambang juga sebenarnya mudah dijaga dan apabila diletakkan dalam bekas ia sangat disukai oleh ikan untuk berteduh daripada panas sinaran matahari. Biasanya pokok ini akan membesar antara 5.1 - 45.7 cm diameter serta tergolong sebagai tumbuhan yang sangat mesra alam dan membiak dengan menghasilkan anak pokok.
 
Pokok Kiambang ini senang dibiakkan dengan menggunakan kaedah keratan anak sulur pokoknya. Biasanya daripada sisi pokok kiambang yang dewasa akan tumbuh beberapa anak pokok yang kecil tetapi telah hidup menyerupai pokok dewasanya. 
 
Pada peringkat awal pertumbuhannya pokok kiambang ini bergantung sepenuhnya kepada pokok induknya untuk mendapatkan nutrien untuk tumbesarannya. Pergantungan ini akan dilihat berterusan sehingga anak kiambang ini tumbuh akarnya sendiri. 

Anak pokok kiambang ini tidak akan tumbuh subur sebagai pokok baru selagi ia tidak dipisahkan dari induknya.

Umpama kiambang di air, akar tidak jejak ke bumi

Kiambang hidup di permukaan air

Kiambang boleh dijadikan sayur
 


No comments:

Post a Comment