Monday 30 October 2023

KEISTIMEWAAN BUMI PALESTIN

 
Bumi Palestin tanah istimewa. Banyak sejarah Islam ada kaitan dengan bumi Palestin.
 
Masjid pertama sebagai kiblat umat Islam, sebelum perintah agar ditukarkan ke arah Masjidilharam atau Kaabah. Masjid Al-Aqsa merupakan masjid yang utama bagi umat Islam untuk melaksanakan solat.
 
Sabda Rasululllah SAW: "Masjid apakah yang pertama dibangunkan di atas muka bumi ini?" Baginda menjawab "Masjid al-Haram". Selepas itu masjid apa pula? Baginda menjawab "Masjid Al-Aqsa". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
 
Bumi Palestin merupakan tanah para Nabi. Antara Nabi yang dilahirkan, dibesarkan dan disemadikan di bumi Palestin ialah Nabi Ibrahim, Nabi Ismail, Nabi Ishak, Nabi Yaakub, Nabi Syuib, Nabi Musa, Nabi Zakaria, Nabi Yahya, Nabi Isa dan lain-lain lagi.
 
Di bumi Palestin juga dianggap sebagai pusat keamanan sejagat.  Difahamkan, ia merupakan padang Mahsyar selepas kiamat dan merupakan pusat keamanan sejagat.
Sabda Rasulullah SAW: "Ia adalah bumi Mahsyar dan kebangkitan." (Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah).
 
Satu lagi keistimewaan bumi Palestin ialah sesiapa yang tinggal di situ dikira sebagai orang yang berjihad dan berterusan pertahan jihad. Rasulullah SAW bersabda: "Ahli Syam akan berterusan dalam jihad dan ribath di jalan Allah." (Hadis riwayat Tabrani)
 
Bumi Palestin menjadi hak orang Islam sehingga hari kiamat. Ini sesuai kedudukan Palestin sebagai pusat untuk kumpulan orang yang sentiasa teguh menegakkan kebenaran dan hak orang Islam sehingga hari kiamat. 
 
Sabda Rasulullah SAW: “Sekelompok dari umatku akan tetap berada dalam kebenaran yang nyata dan akan mengalahkan musuh-musuh mereka dan mereka tidak akan disakiti oleh musuh-musuh mereka kecuali apabila ditimpa kesusahan dan sehingga datang pertolongan dari Allah dan keadaan mereka akan kembali seperti sedia kala.” Para sahabat bertanya, “Di manakah tempat mereka itu ya Rasulullah?” Baginda menjawab “Di Baitul Maqdis dan di aknaf (bawah lindungan) Baitul Maqdis.” (Hadis riwayat Tabrani)
 
Sesungguhnya tanah Palestin adalah diberkati Allah. Bumi Palestin ternyata adalah tanah yang diberkati dan menjadi saksi terhadap usaha Nabi dan Rasul utusan Allah menyampaikan akidah tauhid kepada manusia sejak zaman berzaman.
 
Firman Allah SWT: “Maha suci Allah yang telah menjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjidil Haram (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui.” (Surah al-Israk, ayat 1)
 
Kesimpulannya, bumi Palestin ini bukanlah hak dan urusan rakyat Palestin sahaja. Akan tetapi, ia adalah masalah umat Islam sejagat. Jadilah umat Islam yang cakna dan peka dengan isu yang melanda negara Islam yang lain.

No comments:

Post a Comment