Friday, 13 June 2025

SEJARAH PEMBINAAN LEBUHRAYA UTARA-SELATAN

 
Pada tahun 1970-an, untuk pergi dari Johor Bahru, Johor ke Jitra, Kedah, dianggarkan mengambil masa kira-kira 18 jam, berbanding sekarang sekitar 7 hingga 8 jam sahaja setelah ada kemudahan Lebuhraya Utara-Selatan.
 
Sejarah pembangunan dan pembinaan Lebuhraya Utara-Selatan sangat berkaitan dengan sejarah Jalan Persekutuan 1 serta Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2.
 
Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 mula dicadangkan pembinaannya pada tahun 1970 seperti yang termaktub di dalam program pembangunan rangkaian jalan raya negara yang pertama.
 
Pada masa itu, kerajaan persekutuan masih belum terfikir akan idea pembinaan sebuah lebuh raya ekspres yang menyelusuri kawasan pantai barat Semenanjung Malaysia dari utara sehinggalah ke selatan.
 
Pada tahun 1977, timbul satu keperluan untuk membina sebuah lebuh raya ekspres dari Bukit Kayu Hitam sehinggalah ke Johor Bahru. Ia susulan keadaan Jalan Persekutuan 1 yang semakin sesak, dan masalah kesesakan semakin ketara di bandar-bandar besar.
 
Semasa kerajaan mencadangkan pembinaan lebuh raya ekspres jarak jauh pertama negara pada tahun 1977, kerajaan telah menjemput beberapa buah syarikat untuk membina lebuh raya tersebut.
 
Pembinaan lebuh raya tersebut asalnya dicadangkan untuk diswastakan sepenuhnya, yang mana syarikat konsesi diberi kuasa untuk membina, mengendalikan dan mengutip tol di lebuh raya tersebut. Namun, tiada satu pun syarikat yang berani hendak membina lebuh raya tersebut.
 
Oleh kerana tiada satu pun syarikat yang berani hendak membina Lebuhraya Utara-Selatan ini, maka kerajaan tiada pilihan selain membinanya sendiri. Ia menjurus kepada penubuhan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231.
 
Pada masa itu, LLM memang berfungsi bagi merancang, membina, mengendalikan, menyelenggara dan mengutip tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2.
 
Majlis pecah tanah disempurnakan pada tahun 1981, bermula di jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra. Jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra itu sebenarnya dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1, siap pada 1 April 1985.
 
Pada masa yang sama pula, pembinaan Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2 sedang berlangsung. Sebaik ia dibuka kepada lalu lintas pada 16 Jun 1982, ia merupakan lebuh raya ekspres pertama yang menggunakan sistem tol tertutup ataupun sistem tiket.
 
Memandangkan kutipan tol dilaksanakan oleh LLM, maka Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban diserap sebagai sebahagian daripada projek Lebuhraya Utara-Selatan.
 
Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban membentuk laluan perintis bagi jajaran selatan, manakala naik taraf jajaran Lebuhraya Bukit Kayu Hitam-Jitra E1/FT1 membentuk laluan perintis bagi jajaran utara.

Jajaran ketiga yang siap dibina ialah jajaran dari Seberang Jaya ke Exit 161 Persimpangan Jambatan Pulau Pinang. Jajaran tersebut sebenarnya dibina sebagai sebahagian projek Jambatan Pulau Pinang E36 yang dibuka kepada lalu lintas pada 14 September 1985.
 
Jajaran di Seberang Jaya itu membentuk jajaran perintis bagi jajaran Juru-Sungai Dua. Memandangkan jajaran dari Seberang Jaya dan Jambatan Pulau Pinang tidak dikenakan tol, maka keseluruhan jajaran Juru-Sungai Dua juga tidak dikenakan tol.

Sementara itu pula, di sebelah selatan pula Lebuhraya Skudai FT1 dibina sebagai naik taraf jalan FT1 dari Johor Bahru ke Senai sejauh 27.3 km, dengan menggunakan laluan Jalan Tun Abdul Razak, dan Jalan Larkin sebelum dilencongkan ke Jalan Skudai sehingga ke Senai.
 
Jajaran seterusnya yang dibuka ialah jajaran Ipoh-Changkat Jering yang siap pada tahun 1987. Jajaran Ipoh-Changkat Jering dibina sebagai laluan merentasi bandar raya Ipoh yang merupakan bandar raya kedua terbesar di Malaysia pada ketika itu. Seperti jajaran Juru-Sungai Dua, jajaran Jelapang-Ipoh Selatan juga tidak dikenakan tol.
 
Pada tahun 1987 juga jajaran Senawang-Ayer Keroh siap dibina. Jajaran Senawang-Ayer Keroh dibina sebagai sambungan bagi Lebuhraya Kuala Lumpur-Seremban E37/E2.

Baca juga:

No comments:

Post a Comment