Semasa kerajaan mencadangkan pembinaan lebuh raya ekspres
jarak jauh pertama negara pada tahun 1977, kerajaan telah menjemput beberapa
buah syarikat untuk membina lebuh raya tersebut.
Pembinaan lebuh raya tersebut asalnya dicadangkan untuk
diswastakan sepenuhnya, yang mana syarikat konsesi diberi kuasa untuk membina,
mengendalikan dan mengutip tol di lebuh raya tersebut. Namun, tiada satu pun
syarikat yang berani hendak membina lebuh raya tersebut.
Oleh kerana tiada satu pun syarikat yang berani hendak
membina Lebuhraya Utara-Selatan ini, maka kerajaan tiada pilihan selain
membinanya sendiri. Ia menjurus kepada penubuhan Lembaga Lebuhraya Malaysia
(LLM) pada 24 Oktober 1980 mengikut Akta 231.
Pada masa itu, LLM memang berfungsi bagi merancang, membina,
mengendalikan, menyelenggara dan mengutip tol bagi Lebuhraya Utara-Selatan E1
dan E2.
Majlis pecah tanah disempurnakan pada tahun 1981, bermula di
jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra. Jajaran Bukit Kayu Hitam-Jitra itu sebenarnya
dibina sebagai naik taraf Jalan Persekutuan 1, siap pada 1 April 1985.
Pada pertengahan tahun 1980-an, negara dilanda kemelesetan
ekonomi akibat kejatuhan harga komoditi getah dan bijih timah. Dasar sebelum
ini yang mana LLM sendiri membina Lebuhraya Utara-Selatan ternyata merugikan
dan mengakibatkan kadar pembinaan jajaran baharu amat perlahan.
Setakat 1986, hanya sekitar 350 km sahaja (atau dua perlima
daripada keseluruhan jajaran) yang sudah siap, dengan kos sejumlah RM2.1
bilion. Akhirnya kerajaan memutuskan bahawa projek Lebuhraya Utara-Selatan
diteruskan dengan mengguna pakai kaedah penswastaan.
Dengan merujuk kepada kejayaan penswastaan projek Lebuhraya
Selat Klang Utara FT20 pada tahun 1984 oleh Shapadu, model turut sama digunakan
bagi meneruskan projek Lebuhraya Utara-Selatan.
Satu surat hasrat telah dihantar kepada pihak United Engineers
Malaysia Berhad (UEM) pada 29 Disember 1986 sebelum dimuktamadkan pada tahun
1988.
Perjanjian penswastaan tersebut membawa kepada penubuhan Projek Lebuhraya
Utara Selatan Berhad (Plus), yang kini dikenali sebagai Plus Malaysia Berhad.
Inisiatif penswastaan projek Lebuhraya Utara-Selatan oleh kerajaan ternyata
membawa kesan positif terhadap tahap kemajuan projek. Tatkala fasa-fasa terawal
dikritik kerana lambat siap, fasa-fasa seterusnya pula berkembang dengan begitu
rancak. Misalnya, di sebelah selatan, jajaran selatan bagi Lebuhraya
Utara-Selatan E2 dilanjutkan lagi dengan siapnya jajaran Ayer Keroh-Pagoh pada
5 April 1989.
Sementara itu, di Selangor pula, jajaran Lebuhraya Baru Lembah Klang (NKVE) E1
dari Exit 101 Persimpangan Bukit Raja sehingga ke Exit 106 Persimpangan
Damansara mula dibuka pada 7 Disember 1990.
Ia disusuli dengan jajaran
Damansara-Sungai Buluh pada tahun 1992 dan akhir sekali jajaran Bukit
Lanjan-Jalan Duta pada 11 Januari 1993.
Antara kedua-dua
laluan, laluan E2 siap lebih dahulu Jajaran E1 pula lebih lambat siap, yang mana
jajaran Gopeng-Tapah merupakan jajaran terakhir yang siap pada 7 Februari 1994.
Akhirnya selepas memakan masa selama 13 tahun, perasmian Lebuhraya Utara-Selatan E1 dan E2 berjaya disempurnakan pada 8 September 1994.
Lebuhraya Utara-Selatan melonjakkan nama Malaysia sebagai
antara negara yang mempunyai jaringan jalan raya yang terbaik di Asia selain
Jepun, Korea Selatan, China dan Singapura
Baca juga:
No comments:
Post a Comment