Thursday 14 December 2017

SENI BUDAYA TERAS IDENTITI BANGSA


Islam tidak melarang sesuatu kaum mengamalkan kesenian dan kebudayaan yang dapat melahirkan kebaikan.  Rasulullah SAW tidak menegah daripada sesuatu kaum mengamalkan kesenian dan kebudayaan masing-masing. Perkara ini dapat difahami melalui satu hadis.    

Diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya: “Ketika penduduk Habsyah sedang bermain-main dengan tombak-tombak mereka di hadapan Rasulullah SAW, tiba-tiba masuklah Umar al-Khattab.  Lalu dia (Umar) mengambil batu-batu kecil untuk melontar mereka.  Lantas, Rasulullah berkata kepadanya: “Biarkan mereka wahai Umar!” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Dalam satu hadis dapat difahami bagaimana penerimaan Islam berkaitan permainan alatan muzik iaitu Rasulullah SAW mengarahkan agar perkahwinan dihebohkan untuk pengetahuan orang ramai dengan cara paluan rebana. 

Sebuah hadis diriwayatkan Tirmizi bermaksud: "Isytiharkanlah perkahwinan ini dan akadlah di masjid serta pukullah rebana." 

Gendang dan rebana juga digunakan oleh tentera Islam semasa peperangan untuk melahirkan semangat berjuang.  Begitu juga sejarah Islam telah menceritakan bagaimana gendang telah digunakan untuk menaikkan semangat pahlawan-pahlawan Islam yang berada di medan peperangan. 

Ketika Perang Uhud yang dipimpin oleh Rasulullah SAW, terdapat beberapa orang wanita turut serta yang bertugas sebagai jururawat dan memberi semangat kepada pejuang Islam. 

Di samping merawat dan membantu tentera Islam, wanita berkenaan juga menyanyi menghiburkan para tentera. 

Pandangan orang ramai terhadap nyanyian dan muzik perlu dimurnikan.  Selama-lamanya dalam masyarakat kita memandang serong kepada pemuzik dan penyanyi. 

Hampir tidak ada guru agama atau ustaz berpendapat hiburan sebagai harus.  Mereka menghukum nyanyian dan muzik haram tanpa menjelaskan bentuk dan batasan-batasannya.  

No comments:

Post a Comment