Friday 26 January 2018

TEKNIK MENDAPAT KEPUASAN MENJALA

Ikan di dalam kolam, sungai, tasik, laut mahupun tali air boleh ditangkap dengan pelbagai cara. Memancing, memukat, membelat, memsauk dan menjala adalah antara cara untuk menangkap ikan.

Setiap orang ada hobi, cara atau minat tersendiri untuk menangkap ikan. Ada yang begitu berminat memancing sehingga sanggup berjam-jam memegang atau menunggu joran disentap ikan.

Tidak kurang juga hobi menjala. Jika bagi pemancing mencari kepuasan ketika melontar ladung dan menaikkan ikan, penjala pula berasa puas apabila jala yang ditebar terbuka secara baik dan jatuh pada permukaan air yang diharapkan.

Menarik jala juga ada seni dan memberi kepuasan. Penjala akan dapat rasakan terjahan ikan untuk melepaskan diri. Lompatan ikan yang terkejut memberi pemandangan indah bagi penjala.

Paling puas dan bangga apabila keseluruhan jala dapat dinaikkan. Ketika itu kelihatan ikan yang terperangkap dan dapat ditangkap.

Seekor demi seekor ikan dipunggut secara berhati-hati untuk mengelak jala berbelit dan rosak.

Menjala perlu kemahiran khusus. Paling sukar adalah untuk menebar agar ia 'terbuka' dan jatuh ikut sasaran. Kalau tidak pandai, jala yang ditebar hanya kucup dan jatuh dekat sahaja.

Tanpa terbuka, jala tidak akan dapat memerangkap ikan. Biasanya untuk latihan, jala akan ditebar di atas tanah atau di kawasan lapang. Latihan berulang-ulang akan membuahkan pengalaman dan teknik yang betul.

Ukuran bidang jala berbeza-beza. Begitu juga 'mata' jala juga berlain mengikut sasaran ikan yang ingin dijala.

Harga serawan jala antara RM300 hingga RM400.

No comments:

Post a Comment