Wednesday 21 February 2018

PRINSIP HUBUNGAN DENGAN BUKAN ISLAM

Dalam Islam telah wujud prinsip perundangan yang memperuntukkan kaedah-kaedah khusus untuk memenuhi keperluan masyarakat majmuk. 

Para penggubal undang-undang Islam sejak zaman dulu telah meninggalkan warisan kanun yang berbentuk hukum-hukum yang berpandukan kepada al-Quran dan hadis, kajian dan ijtihad mereka. 

Hukum-hukum berdasarkan ijtihad dibahagikan kepada dua. Pertamanya, hukum-hukum yang tetap tidak berubah dan tidak boleh ditukar ganti dan tidak pula bercanggah dengan sebarang maslahah disebabkan bercanggah keadaan zaman dan tempat. 

Keduanya, hukum-hukum yang menjaga kepentingan maslahah manusia mengikut keperluan semasa, tapi tetap diputuskan mengikut al-Quran dan hadis.

Konsep undang-undang pentadbiran Islam menitikberatkan soal kebajikan dan kebaikan, serta menjauhkan dari kemungkaran dan kehancuran. 

Undang-undang pentadbiran Islam turut mengiktiraf kewujudan dan sumbangan masyarakat bukan Islam dalam masyarakat Islam. Sebab itu, sebarang keputusan berkaitan sesuatu undang-undang hendaklah turut mengambil kira kepentingan orang bukan Islam.

Kebaikan yang dianjurkan Islam membuktikan ketelusan untuk mewujudkan masyarakat yang menghayati hukum Islam di kalangan orang bukan Islam.

Islam mementingkan penerimaan terhadap Islam tanpa melibatkan sebarang paksaan. Sesiapa yang menganut Islam bererti bersedia menerima segala ketentuan hukum dan melaksanakan tugas sebagai seorang Muslim. 

Sedangkan bagi sesiapa yang ingin kekal dalam agama anutan masing-masing, hendaklah bersedia mematuhi dasar-dasar bernegara yang ditetapkan oleh pemerintah Islam. 

Orang bukan Islam dalam negara Islam perlu diberi kebebasan untuk mengamalkan kepercayaan masing-masing. Orang Islam ditegah sama sekali menghina atau merosakkan sesuatu yang berkaitan dengan agama lain.

Orang bukan Islam yang sedia tunduk kepada pemerintah Islam adalah haram diperangi atau dilakukan perbuatan khianat terhadap mereka. Apa yang mereka nikmati juga hendaklah diteruskan tanpa sekatan. 

Firman Allah swt bermaksud: “Allah tidak melarang kamu daripada berbuat baik dan berlaku adil kepada orang yang tidak memerangi kamu kerana agama (kamu) dan tidak mengeluarkan kamu dari kampung halaman kamu. Sesungguhnya Allah mengasihi orang yang berlaku adil.” (Surah al-Mumtahanah, ayat 8).

Sesungguhnya Rasulullah SAW sentiasa menunaikan permintaan orang bukan Islam di Madinah yang melibatkan kepentingan golongan itu seperti dalam urusan perniagaan, pertanian, keselamatan dan kebebasan beragama.

No comments:

Post a Comment