Sunday 8 July 2018

GURU PERLU AMALKAN KONSEP BELAJAR SEPANJANG HAYAT

Tanggungjawab guru semakin mencabar. Tugas guru bukan setakat mengajar di dalam bilik darjah dengan sukatan pelajaran yang telah ditetapkan, tetapi merangkumi semua aspek pendidikan rohani dan jasmani kepada pelajarnya.

Oleh itu, kejayaan guru bukan semata-mata diukur berdasarkan kepada keputusan peperiksaan pelajarnya, sebaliknya keseluruhan pembentukan diri pelajar. Ia selaras dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan generasi pelajar yang dikualiti dan cemerlang dalam semua aspek.

Perkembangan bidang ilmu berlaku dengan pantas dan amat luas. Perkara baru hari ini mungkin sudah menjadi lapuk esoknya.

Oleh itu pencarian ilmu baru mesti diteruskan tanpa henti. Ia bertepatan dengan suruhan agama yang meletakkan setiap orang perlu belajar berterusan.

Golongan guru paling penting melaksankan konsep menutup ilmu berterusan ini. Guru perlu sentiasa memperoleh sumber ilmu baru kerana mereka yang bertanggungjawab menyebarkan semula kepada pelajar.

Jika sekiranya guru pasif dalam mencari ilmu baru, maka sudah pasti apa yang mampu disampaikan kepada pelajar sekadar apa yang dipelajari ketika mereka belajar di universiti atau institut perguruan, 10 atau 20 tahun lalu.

Ilmu dan kemahiran itu sudah banyak yang berubah dan mungkin tidak sesuai lagi untuk dipakai pada masa kini. Justeru itu, guru perlu sentiasa mengemaskini tahap ilmu dan kemahiran mereka untuk disesuaikan dengan keadaan sekarang.

Guru yang berkualiti akan memberikan satu tahap kecemerlangan sistem pendidikan negara. Negara memerlukan genarasi akan datang yang berilmu dan berwawasan untuk membina sebuah negara yang maju.

Justeru itu, pihak guru sendiri perlu memiliki kualiti yang baik untuk menjalankan tugas tersebut. Sememangnya dalam era globalisasi dan mencabar ini, aspek kualiti sentiasa diutamakan, termasuklah dalam profesion perguruan.

Jika guru tidak mahu melalui anjakan ilmu, mereka akan menghadapi masalah yang besar untuk berdepan dengan pelajar yang semakin kehadapan dari segi penguasaan ilmu. Sekarang ini sudah ada murid yang menguji kemampuan guru dengan mengemukakan soalan-soalan yang sebenarnya telah mereka ketahui jawapannya.

Justeru, guru wajib mempertingkatkan ilmu pengetahuan bukan saja dalam mata pelajaran yang diajar, bahkan dalam semua aspek keilmuan berkaitan dengan pengetahuan umum. 

Jika guru sering mengingatkan pelajar agar banyak membaca, menggunakan kemudahan teknologi maklumat, mengikuti bengkel dan kursus, berbincang dan membuat rujukan, maka perkara yang sama perlu dilakukan sama oleh guru.

Ilmu dan kemahiran tidak diperoleh tanpa dilakukan dengan aturannya. Sekarang ini kaedah mencari ilmu tiada sempadannya. Pelajar tidak lagi perlu mengembara ke tampat jauh semata-mata untuk menuntut ilmu kerana kini mereka boleh ‘mengembara’ melalui gerbang siber untuk mencari guru dan mengutip banyak ilmu.

Firman Allah bermaksud: “Allah memberikan hikmah kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut aturannya). Dan sesiapa yang diberikan hikmah itu, maka sesungguhnya diberi kebaikan yang banyak. Dan tidaklah yang dapat mengambil pengajaran (peringatan) melainkan orang yang menggunakan akal fikirannya.” - (Surah al-Baqarah, ayat 269).

Sesungguhnya, guru perlu sentiasa berusaha mengemaskinikan ilmu yang dimiliki agar mampu memberikan ilmu yang terkini kepada pelajarnya. Dengan cara itu saja dapat memastikan guru mempunyai keyakinan untuk berdepan dengan tugas berat ini.

Guru menanggung amanah yang besar atas kepercayaan bahawa mereka akan melaksanakan tugas tersebut dengan bersungguh-sungguh. Secara sedar seluruh masyarakat meletakkan satu harapan yang amat besar agar agar guru dapat mendidik pelajar menjadi insan berilmu dan berperibadi mulia. 

Sesungguhnya tidak ada orang lain yang lebih layak menerima amanah tersebut melainkan guru. Firman Allah bermaksud: “Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya).” - (Surah an-Nisa, ayat 58).

Setiap individu yang menerima tugas sebagai guru bermakna telah bersedia untuk melaksanakan segala amanah itu. Profesion perguruan bukan sekadar satu bidang pekerjaan yang terikat dalam bidang tugas yang memerlukan mereka melakukan tugas mengajar semata-mata, tetapi mereka juga contoh kepada seluruh masyarakat.

Jika guru melakukan perkara bertentang dengan apa yang disuruh dilakukan oleh pelajar, sudah pasti guru tersebut tidak akan dihormati. Rasa hormat pelajar terhadap guru akan hilang dan sukarlah bagi guru berkenaan untuk menyuruh pelajarnya melakukan kebaikan.

Firman Allah bermaksud: “Patutkah kamu menyuruh manusia supaya berbuat kebaikan, sedang kamu lupa akan diri kamu sendiri, padahal kamu semua membaca kibat Allah. Tidakkah kamu berakal.” - (Surah al-Baqarah, ayat 44).

Perihal orang yang berilmu tetapi tidak menjaga kehormatan dirinya disebut oleh Sayidina Ali sebagai golongan yang mendatangkan bencana kepada seluruh masyarakatnya.

Kata Sayidina Ali: “Ada dua jenis manusia yang mendatangkan bala bencana kepada kita. Pertama orang yang berilmu tetapi tidak menjaga kehormatannya. Kedua, orang yang bodoh tetapi kuat beribadat. Orang yang bodoh itu menipu manusia dengan ibadatnya, dan orang yang berilmu itu menipu manusia dengan kelalaiannya.”

Jelaslah, guru mesti menunjukkan contoh terbaik kepada pelajarnya. Mana-mana guru yang nyata mempunyai sikap buruk atau bertentangan dengan apa yang diamanahkan agar ditunjukkan kepada pelajarnya, wajar mengubahnya segera.

Jangan sampai dikatakan guru kencing berdiri, murid kencing berlari. Contohnya guru merokok, pelajar juga akan merokok dan lebih teruk lagi terlibat dengan dadah. Jika guru sering masuk lewat ke kelas, pelajar pula mungkin terus ponteng kelas.

Keikhlasan guru melaksanakan tugas amat penting. Tanggungjawab guru bukan sekadar pada waktu persekolahan, bahkan sepenuh masa hidupnya adalah seorang guru. 

Justeru itu, guru diumpamakan lilin yang membakar diri sendiri. Penghormatan untuk guru amat nyata terutamanya dalam segi gelaran. Sekali seorang itu menjadi guru, maka seumur hidupnya dia akan dipanggil cikgu.

No comments:

Post a Comment