Friday 6 November 2020

Rumah Keluarga Angkatan Tentera suntik motivasi anggota

Kerajaan meluluskan pembinaan hampir 1,000 unit Rumah Keluarga Angkatan Tentera (RKAT) yang baharu membabitkan kos keseluruhan hampir RM500 juta.

Perkara ini diumumkan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz ketika membentangkan Belanjawan 2021.

Peruntukan tersebut sebagai langkah tambahan kepada usaha menyelenggara kemudahan RKAT sedia ada bagi memastikan kebajikan anggota tentera tidak terabai.

Peruntukan tersebut selaras dengan usaha Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri bin Yaakob, yang sentiasa prihati terhadap kebajikan anggota tentera dan keluarga tidak terabai.

Keperluan RKAT sesuatu yang perlu disediakan memandangkan anggota tentera sentiasa ditugas di kawasan jauh untuk tugas operasi yang mengambil masa sehingga dua bulan dan lebih untuk setiap penugasan.

Itu tidak termasuk tugasan di luar negara di bawah Panji-panji Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) yang mengambil masa lebih lama untuk setiap penugasan.

Justeru, amat penting ahli keluarga yang ditinggalkan perlu disediakan kemudahan rumah yang selamat dan selesa di kawasan kem atau tempat khusus.

Anggota tentera yang bertugas melaksanakan operasi tentu yakin dengan keselamatan dan keselesaan keluarga yang ditinggalkan jika berada di RKAT yang diurus dan dikawal sendiri oleh tentera.

Nasib isteri dan anak-anak lebih terbela dengan aktiviti Badan Kebajikan Anggota Tentera (BAKAT) dan kemudahan pengangkutan anak-anak ke sekolah. 

No comments:

Post a Comment