Bagi
lelaki, khatan (atau dalam bahasa Arabnya disebut khitan) ialah amalan memotong
qulfah (kulit yang menutupi kepala) zakar. Ia juga disebut ‘bersunat’ dalam
masyarakat Melayu.
Sebenarnya
amalan berkhatan adalah daripada agama Nabi Ibrahim. Diriwayatkan daripada Abu
Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Nabi Ibrahim
adalah seorang Nabi yang berkhatan sendiri pada usia lapan puluh tahun.” (Hadis
riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Dalam
hal ini khususnya, Rasulullah SAW serta umatnya diperintahkan mengikuti agama
Nabi Ibrahim. Allah berfirman yang bermaksud: “Kemudian Kami (Tuhan) telah
mewahyukan kepadamu supaya mengikut agama Ibrahim yang suci.” (Surah al-Nahl,
ayat 123)
Menurut
pendapat kebanyakan ulama seperti al-Sya’bi, Rabi’ah, al-Azra’i, Yahya bin
Sa’ad al-Ansari, Malik, al-Syafi’i dan Ahmad, amalan berkhatan adalah wajib
bagi golongan lelaki.
Banyak
hadis Rasulullah SAW yang menunjukkan mengenai pensyariatan khatan. Antaranya,
hadis diriwayatkan daripada Abu Hurairah katanya, bahawa Rasulullah SAW
bersabda yang bermaksud: “Ada lima perkara yang dikategorikan sebagai fitrah
(sifat semula jadi) seseorang manusia iaitu berkhatan, mencukur bulu kemaluan,
memotong kuku, mencabut bulu ketiak dan menggunting misai.” (Hadis riwayat
al-Bukhari dan Muslim)
Selain
itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Antara fitrah ialah berkumur,
membersihkan hidung dengan air, menggunting misai, bersiwak, memotong kuku,
mencabut bulu ketiak, memotong bulu kemaluan dan berkhatan.” (Hadis riwayat
Ahmad)
Berdasarkan
hadis itu, Abdullah Nasih Ulwan menjelaskan, meskipun Rasulullah SAW menyebut
khatan bersama perkara sunat, namun tidaklah bermakna hukum berkhatan itu
sunat. Jelasnya, hadis di atas membicarakan dua perkara utama iaitu perkara
wajib dan sunat.
Dalam
hal ini, al-Khattabi pula berpendapat, meskipun khatan selalu disebut bersama
dengan perkara sunat seperti mencukur bulu ketiak dan memotong kuku, kebanyakan
ulama mengiranya sebagai wajib.
Ia
adalah syiar Islam yang membezakan antara Muslim dan kafir. Jika ada seorang
yang berkhatan mati di kalangan sekumpulan manusia yang tidak berkhatan, maka
hendaklah disembahyangkan dan dikuburkan di tanah perkuburan Islam.
Kewajipan
berkhatan juga berdasarkan hadis diriwayatkan daripada ‘Utsaimin bin Kulaib
bahawa Rasulullah SAW bersabda kepada orang yang baru memeluk Islam yang
bermaksud: “Bersihkanlah dirimu dari rambut kufur dan berkhatanlah.” (Hadis
riwayat Ahmad dan Abu Daud)
Maka
jelaslah bahawa khatan itu adalah fitrah manusia, syiar Islam dan ia wajib ke
atas lelaki. Oleh itu, sesiapa yang tidak menyegerakan khatan sejak ia mula
memeluk Islam dan tidak melaksanakannya hingga masa balighnya, maka dia dikira
berdosa.
Kebanyakan
ulama menyatakan bahawa khatan adalah wajib ketika seseorang anak itu sudah
hampir baligh kerana tidak berapa lama lagi anak berkenaan akan menjadi
mukallaf untuk mematuhi segala hukum syariat dan perintah Allah.
Tetapi
masa yang paling afdal (baik) ialah pada hari pertama kelahiran. Hal ini
berdasarkan hadis diriwayatkan daripada Jabir katanya, bahawa Rasulullah SAW
mengkhatankan al-Hasan dan al-Husin pada hari ketujuh (selepas kelahiran)
mereka.
Setiap
amalan yang disyariatkan Allah mempunyai hikmah dan kelebihannya. Amalan
berkhatan mempunyai faedah dari aspek kesihatan.
Dr
Sobri al-Qubbani dalam bukunya Hayatuna al-Jinsiyyah berkata, antara faedah
terpenting berkhatan ialah, seseorang lelaki itu akan dapat menghindari
daripada penyakit kulit disebabkan oleh peluh yang berkumpul dalam kulit qulfah
itu.
Perkara
itu dibuktikan pakar bedah, Dr Gerald Weiss, yang menegaskan tanpa khatan,
bahagian di bawah kulit menutupi kepala zakar akan menjadi tempat takungan
pelbagai jenis kuman dan ini meningkatkan risiko mendapat jangkitan (cesspool
of infection). Kadangkala keadaan ini akan mengeluarkan bau kurang
menyenangkan.
Kata
Dr Sobri al-Qubbani lagi, berkhatan juga dapat menghindari daripada penyakit
kanser. Hal itu dibuktikan profesor Perubatan Kanak-Kanak Universiti
California, San Francisco, Dr Edgar J Schoen.
WebMD
Medical News bertarikh 6 Mac 2000 melaporkan mengenai satu kajian yang beliau
lakukan bersama rakannya dan mereka mendapati daripada 89 kes kanser zakar, 87
daripadanya daripada kalangan lelaki tidak berkhatan.
Justeru,
mereka merumuskan khatan mencegah lelaki daripada menghidap kanser zakar dan
penemuan itu dimuatkan dalam majalah Pediatrics.
Kajian
turut mendapati risiko seseorang wanita menghidap barah pangkal rahim (cervix)
adalah tinggi jika pasangannya tidak berkhatan. Satu kajian dilakukan di Lembah
Kashmir pada 1993 menunjukkan, amalan berkhatan di tempat itu menyebabkan
peratus barah pangkal rahim menjadi rendah berbanding kawasan lain di India.
Manakala
mengikut pakar kanak-kanak terkenal, Dr Edgar J Shoen, luka yang sering berlaku
di kulit penutup zakar ketika melakukan persetubuhan memudahkan lelaki yang
tidak berkhatan dijangkiti kuman penyakit jangkitan seksual, terutama siflis,
chancroid dan genital herpes.
Berdasarkan
hasil kajian, jelaslah orang yang berkhatan akan dapat menikmati kesihatan yang
baik serta terhindar daripada pelbagai penyakit merbahaya.
No comments:
Post a Comment