Wednesday 12 May 2021

Langkah tepat PKP seluruh negara

Selepas kerajaan mengumunkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara, terdengar cakap-cakap dan kiriman di media maya berasa kecewa dengan pengumuman tersebut. Banyak yang mencaci, marah-marah dan umpat keji dilemparkan kepada kerajaan.

Namun, ada juga yang menyokong. Langkah PKP seluruh negara dianggap tepat dan memberi kebaikan kepada semua. Di sebalik keluhan dan kegelisahan rakyat ada satu pihak yang benar-benar bersyukur dengan pengumuman ini.

Mereka ialah barisan hadapan di sektor perubatan. Mereka inilah yang bekerja di hospital, PKD, PKRC, pengurus jenazah dan dimana-mana yang memberikan khidmat kesihatan dalam menangani Covis-19 di Malaysia ini.

Jarang sekali kita mendengar mereka mengeluh bahkan meluahkan kepenatan meskipun mereka telah berjuang semenjak dari tahun lepas lagi.

Sempena kedatangan hari raya ini pula, cuti mereka dibekukan dan mereka terpaksa bekerja siang dan malam dengan katil di wad ICU hospital di seluruh negara penuh dengan pesakit Covid-19 dan semakin hari semakin banyak PKRC diwujudkan kerana jumlah kes positif di Malaysia semakin meningkat.

Pada ketika kita mungkin berpakaian baju baharu raya, mereka terus berpakaian ‘uniform’ yang tidak menyenangkan. Namun, demi tugas mereka menyarungnya dengan bangga kerana inilah tugas fardu kifayah.

Memakainya dengan amanah pada negara meskipun rasa kerinduan pada keluarga tersemat di dada.

Usahlah kita saling menunding jari menyalahkan pihak lain. Sebaliknya, bersama-sama kita menghargai barisan hadapan yang bertungkus lumus berusaha menangani penularan Covid-19.

No comments:

Post a Comment