Tuesday 25 May 2021

TIDAK DIBENAR BUKA AIB ORANG LAIN

Sudah menjadi sifat manusia sukakan kepada pujian dan penghormatan. Salah satu tanda pujian dan penghormatan ialah melalui penggunaan bahasa. Amat jelas taraf perbezaan penghormatan hanya disebabkan penambahan atau pengurangan sesuatu perkataan.

Perkataan Yang Berhormat ditujukan kepada wakil rakyat biasa. Jika disebut Yang Amat Berhormat digunakan kepada menteri besar dan perdana menteri. Begitu sekali kehalusan dan ketepatan penggunaan bahasa Melayu.

Jadi tentulah tidak tepat dan amat biadap jika gelaran kepada perdana menteri dipanggil maha zalim, maha kroni dan pelbagai gelaran yang tidak sepatutnya. Golongan yang mengucapkan perkataan tersebut boleh disebut buta hati, buta bahasa dan sudah tentu jahil dan buta agama.

Mencarut dan mencaci merupakan perbuatan keji yang tidak melambangkan sikap seorang muslim. Jika seseorang yang mengaku beriman dan merasakan darjat keimanannya lebih tinggi daripada orang lain, tetapi selalu mencarut dan mencaci, maka sebenarlah itulah hanya sangkaan kosong semata-mata. 

Sebuah hadis diriwayatkan oleh Ahmad bermaksud: “Sesungguhnya kekejian dan berbuat kekejian, tidak sedikitpun daripada Islam. Dan sesungguhnya manusia yang terbaik Islamnya ialah mereka yang baik akhlaknya.”.

Islam tidak sekali-kali membenarkan seseorang Islam membuka aib muslim lain. Biarpun orang itu telah membuka aib yang benar, tetap dilarang dilakukan. Sesiapa yang membuka aib orang lain, sedangkan orang yang dikenakan itu tidak membalasnya kembali, maka kebajikan akan digantikan kepadanya atas kesabaran itu.

Sabda Rasulullah bermaksud: “Hendaklah kamu bertakwa kepada Allah. Kemudian sekiranya ada orang yang memalukan engkau kepada dia tahu dirimu ada sesuatu keaiban, maka janganlah engkau membalasnya dengan memberi malu kepadanya, kerana jika engkau mengetahui dia juga mempunyai sesuatu keaiban, maka bencananya kelak tertimpa ke atas orang itu, manakala pahalanya akan dicatatkan bagimu. Dan janganlah kamu memaki sesuatu.” (Hadis riwayat Ahmad dan Tabrani).

Sekiranya perkara keaiban yang benar tidak boleh disebarkan, inikan pula perkara yang sengaja direka-reka. Menyebarkan cerita yang tidak benar mengenai seseorang untuk mendatangkan keaiban dipanggil membuat fitnah.

No comments:

Post a Comment