Thursday 20 July 2023

KISAH SARJAN HASSAN PEJUANG TERBILANG

 
Hassan bin Othman lahir pada 15 Februari 1927 di Kampung Pantai, Seremban, Negeri Sembilan. ketiga daripada lima adik-beradik, beliau banyak menuntut ilmu agama daripadanya bapanya yang juga seorang guru agama.
 
Pada usia 17 tahun, beliau mengahwini gadis sekampungnya, Siti Zabedah Ali. Menyara hidup dengan kerja kampung, sambil itu beliau terlibat dalam aktiviti menentang komunis. Namun kegiatannya diketahui komunis, lalu isterinya yang sarat hamil bersama ibu mentua dan anak saudaranya dibunuh serta rumah mereka dibakar.
 
Tragedi itu yang mendorong Hassan untuk menyertai Rejimen Askar Melayu (RAM) pada 1946. Tamat rekrut di Port Dickson pada 1947, Hassan diserap masuk ke Batalion Pertama RAM. Tahun berikutnya beliau dilantik sebagai Lans Koperal, kemudian dipindahkan ke Batalion Ke-4 RAM pada 1949 dan dinaikkan pangkat menjadi Koperal pada 1950.
 
Dua tahun kemudian, beliau meraih pangkat Sarjan dan melapor diri ke pangkalan Batalion Ke-4 RAM di Mentakab, Pahang. Di situ, beliau ditugaskan untuk mengetuai pasukan rondaan berkekuatan 9 anggota mengawal kawasan sekitar Triang.
 
Pada 30 Disember 1953, beliau dianugerahkan pingat Military Medal yang turut disokong oleh pegawai pemerintahnya, Leftenan Kolonel E.A. Hefford. Pengiktirafan itu diterima apabila Ratu Elizabeth II melalui London Gazette menganugerahkan pingat berkenaan kepada Hassan pada 12 Mac 1954. Pingat disampaikan oleh Pesuruhjaya Tinggi British di Tanah Melayu, Sir Donald MacGillivray di King’s House, Kuala Lumpur.
 
Selain Military Medal, Hassan turut dianugerahkan pingat General Services Medal dan Mention in Despatches oleh Kerajaan British pada tahun 1950 dan 1952 atas keberaniannya berhadapan dengan anggota Bintang Tiga sewaktu menjalankan operasi.
 
Selain itu, beliau juga turut dikurniakan gelaran Pingat Jasa Kebaktian (PJK) dan Ahli Mangku Negara (AMN).
 
Justeru sebagai menghargai kejayaan dan kecemerlangannya itu, Hassan terpilih mengikuti latihan kadet Federation Training Wing di Port Dickson pada 10 Jun 1957 sebelum menerima tauliah sebagai pangkat leftenan muda Batalion Kelima Rejimen Askar Melayu pada 7 Ogos 1957.
 
Ketika pemimpin negara dan seluruh rakyat se­dang sibuk menjalankan persiapan bagi menyambut kemerdekaan, pengganas komunis juga menyusun strategi di kawasan hutan di Rawang untuk menggagalkan rancangan kerajaan ketika itu. Mujur niat mereka dapat dipatahkan.
 
Hassan terlibat dalam gerakan mematahkan cubaan lebih 400 komunis di Air Terjun Estate, Rawang, Selangor untuk mensabotaj pengisytiharan kemerdekaan negara.
 
Beliau bersara pada 1967 dengan pangkat terakhir sebagai kapten. Pada 30 April 1991, Hassan menghembuskan nafas terakhir ketika usia 63 tahun akibat sakit jantung di Hospital Tuanku Jaafar, Seremban dan disemadikan di Makam Haji Said, Seremban.
 
Kisah keperwiraan Hassan dipercayai menjadi inspirasi kepada filem "Sarjan Hassan" (1958) yang dibintangi Tan Sri P. Ramlee.
  
Sumber: Arkib Negara Malaysia, The Patriots, ABIM, MyMetro

No comments:

Post a Comment