Wednesday 29 January 2020

JENIS KELOMPOK KAUNSELING BERDASARKAN POPULASI

Sejarah perkembangan kelompok moden yang dicatatkan sebagai organisasi khusus untuk melakukan kerja-kerja sosial dikenali Jane Addams’s Hull House pada tahun 1889. 

Pada tahun 1905 pula, James dan Pratt adalah tokoh pengamal psikologi pertama memperkenalkan terapi kelompok kepada pesakit batuk kering bertujuan melatih mereka tentang penjagaan kesihatan.

Terdapat dua kelompok berbeza iaitu berdasarkan populasi dan pendekatan.
a. Berdasarkan populasi. Kelompok ini pula dibahagikan kepada pelbagai jenis mengikut keperluan seperti:
- Kelompok kaunseling untuk kanak-kanak.
- Kelompok kaunseling untuk remaja.
- Kelompok kaunseling untuk pelajar.
- Kelompok kaunseling untuk orang tua.

b. Berdasarkan pendekatan. Ia dibahagikan pula kepada pecahan berikut:
- Kelompok pertemuan.
- Kelompok bimbingan.
- Kaunseling kelompok.
- Kelompok psikoterapi.
- Kelompok pertolongan kendiri.
- Kelompok sokongan.

Satu perbezaan besar antara satu kelompok dengan kelompok yang lain dari segi struktur dan aktiviti kelompok. Arah dan perkembangan kelompok secara umumnya ditentukan oleh keperluan ahli.

JENIS KELOMPOK BERDASARKAN POPULASI TERTENTU.
a. Kaunseling kelompok untuk kanak-kanak. Biasanya kanak-kanak dikaitkan dengan keriangan dan tidak dibebani dengan masalah. Namun, tidak semua kanak-kanak melalui situsi itu. 

Terdapat kanak-kanak berdepan dengan pelbagai kerenah yang jika tidak diawasi atau diperbetulkan akan menimbulkan masalah besar kepada kanak-kanak itu sendiri, keluarga dan masyarakat.

Sikap suka bergaduh, menunjuk kuasa, terlampau aktif, kemurungan dan kurang keyakinan diri adalah antara ciri-ciri kanak-kanak yang memerlukan kaunseling supaya dapat melalui kehidupan yang lebih seimbang. 

Melalui sesi kaunseling kelompok mereka akan dimaklumkan sikap-sikap yang sepatutnya mereka berubah kepada yang lebih baik. Mereka berpeluang untuk meluahkan perasaan mengapa mereka bersikap begitu.

Perhatian dan bimbingan awal ketika usia masih kanak-kanak dapat membantu mereka berubah memandangkan ia belum sebati atau menjadi tabiat yang sukar untuk berubah. Secara psikologi dan fazikalnya, kanak-kanak mudah menerima apa yang disediakan untuk mereka dan bersedia untuk melalui kehidupan alam remaja seterusnya menjadi dewasa dengan lebih berkesan.

b. Kelompok kaunseling untuk remaja. Tahap alam remaja dikatakan tempoh yang paling mencabar dan menentukan arah tujuan hidup masa depan. Mereka mula mencari dan membina identiti diri sendiri. Usaha ini kadang kala menyebabkan mereka berdepan dengan masalah apabila lebih terpengaruh dengan unsur-unsur negatif dan pertembungan dengan kehendak ibu bapa yang sering bertentangan. 

Krisis identiti diri, termasuk berkaitan jantina mula tampak apabila seseorang melewati usia dewasa. Ketika itu ada remaja perempuan yang lebih berminat dengan aktiviti lasak berkaitan lelaki atau dikenali tomboy. Manakala itu, di kalangan remaja lelaki pula ada yang terpengaruh dan berminat dengan dunia kewanitaan yang menjadikan mereka golongan pondan.

Melalui kaunseling kelompok, remaja berpeluang berkongsi pengalaman dan mendedahkan konflik-konflik dalam diri yang membawa mereka kepada keadaan yang tidak selesa atau bermasalah.

Bimbingan melalui kaunseling kelompok dapat membantu mereka mengenal diri sendiri dan memilih cara hidup yang sesuai. Aktiviti dalam kumpulan membentuk satu interaksi yang dapat memberi faedah bersama kepada remaja yang terlibat dan mereka dapat membina keyakinan diri bahawa masalah yang ditanggung selama ini tidak hanya dihadapi seorang diri.

Mereka juga akan merasakan diri mereka masih ada nilai-nilai baik yang dapat disumbangkan kepada rakan sebaya lain. Mereka merasa kepuasan dapat membantu dan dihargai, sedangkan selama ini merasakan diri hanya sering menimbulkan masalah kepada pihak lain. 

Segala keraguan dan kekeliruan yang timbul dapat dijelaskan sehingga lahir kekuatan, keyakinan dan jati diri yang sewajarnya dimiliki untuk mencapai kejayaan dan kesempurnaan hidup.

c. Kelompok kaunseling untuk pelajar. Kaedah ini diguna pakai untuk pelajar di sekolah atau mahasiswa di pusat pengajian tinggi yang berdepan dengan masalah berkaitan pelajaran atau sesuatu yang mengheret mereka ke dalam keadaan tertekan. 

Biasanya pelajar berdepan dengan masalah untuk mengikuti pelajaran, pemilihan aliran atau bidang dan menentukan kerjaya yang bakal dipilih. Masalah ini jika tidak diatas bakal merenjatkan minat untuk terus belajar sehingga menyebabkan mereka terkandas. 

Ramai pelajar yang gagal bukan kerana mereka tidak cerdik atau mempunyai IQ yang rendah, tetapi banyak berpunca masalah-masalah berkaitan diri dan pelajaran yang tidak dapat diselesaikan. 

d. Kelompok kaunseling untuk orang tua. Kelompok ini lebih tertumpu kepada masalah kesunyian dan rasa terpinggir. Ketika melalui tempoh usia tua, banyak perkara yang dibanggai atau kelebihan yang dimiliki selama ini telah mula berkurangan. Tenaga telah semakin kekurangan, kecantikan semakin pudar, pergerakan mula terhad, pendengaran tidak lagi jelas, penglihatan mula kabur dan segala-galanya telah berubah.

Begitu juga dengan jawatan dan penghormatan yang diterima selama ini tidak lagi dimiliki. Golongan tua terpaksa bersara daripada kedudukan yang diusahakan sejak usia muda. Seketika dulu mereka berada di puncak sering mendapat pujian, perintah mereka diikuti dan pelbagai kehebatan lain.

Lalu, ketika usia telah tua, segala-galanya tidak lagi memihak kepada mereka.  Keadaan inilah yang menyebabkan mereka rasa kesunyian dan terpinggir. Lebih-lebih lagi jika anak dan ahli keluarga turut tidak memberi perhatian kepada mereka disebabkan masing-masing mempunyai komitmen lain. 

Sekiranya mereka berada di dalam kelompok kaunseling, dapat mereka menerima hakikat kehidupan ini yang mereka sudah tua. Mereka dapat membuang tanggapan negatif, sebaliknya dapat meneruskan kehidupan dengan rasa tenang dan sempurna. 

Bahkan, dalam kelompok mereka dapat berkongsi pengalaman, saling memahami, hormat-menghormati dan jauh sama sekali daripada keadaan sunyi dan terpinggir. Ketika itu, mereka akan merasakan hidup usia tua adalah sempurna setelah berjaya melaksanakan apa yang diimpikan selama ini.

JENIS KELOMPOK BERDASARKAN PENDEKATAN PERTEMUAN.
a. Kelompok bimbingan. Kelompok ini lebih banyak berlaku di sekolah atau institusi pendidikan. Mereka lebih menjurus kepada perbincangan melibatkan menentukan aliran pendidikan, pemilihan kerja dan penyesuaian di sekolah.

b. Kaunseling kelompok. Ia adalah satu pendekatan yang digunakan oleh kauselor terlatih untuk memberi pertolongan yang berkesan kepada individu yang normal yang menghadapi masalah-masalah yang biasa alam satu jangkama waktu yang sama. 

Dalam kaunseling kelompok amat mementingkan kepercayaan, rasa selamat bagi membolehkan individu menilai diri sendiri, meningkatkan perkembangan diri dan berinteraksi dan berhubung dengan orang lain dengan lebih berkesan.

c. Kelompok psikoterapi. Pendekatan ini lebih menumpukan kepada individu atau kumpulan yang mempunyai tahap emosi dan pemikiran yang luar biasa.  Mereka merasakan sesuatu kelainan yang amat sangat berbanding individu biasa yang berada di sekelilingnya. Keadaan ini meletakkan mereka pada satu kedudukan masalah psikologi yang kronik.

Justeru, satu proses mempelajari semua pengalaman sedar dan bawah sedar serta pengalaman baru dan lampau perlu dilakukan untuk mengatasi masalah ini.

d. Kelompok pertolongan kendiri. Pendekatan ini dilaksanakan untuk individu yang menghadapi masalah yang biasa dihadapi kebanyakan orang.  Mereka tidak memerlukan khidmat pakar untuk mengatasi masalah yang dihadapi. Sebaliknya, apa yang dilakukan ialah memberi sokongan dan keyakinan untuk mereka menghadapi masalah secara lebih teratur dan tidak menganggap ia satu masalah yang terlalu besar.

Bantuan yang diperoleh itu akan mengelak mereka daripada berdepan dengan tekanan psikologi dan hilang keyakinan diri. Sebaliknya, apa yang diharapkan ialah mereka mendapat satu lonjakan semangat baru untuk melakukan perubahan hidup dan menjauhi apa yang selama ini dianggap satu masalah.

e. Kelompok sokongan. Cara ini ditumpukan kepada mereka yang memerlukan pendekatan yang berbeza untuk mengurai permasalahan yang berlaku. 

Kelompok sokongan memerlukan kehadiran pakar untuk mengedalikannya supaya ia benar-benar mencapai matlamatnya. Mereka memerlukan maklumat atau satu bentuk sokongan yang benar-benar tepat untuk memberi kekuatan menghadapi masalah yang dihadapi. Apa yang diperlukan lebih bersifat fakta dan bukan andaian semata-mata.  

No comments:

Post a Comment