Thursday 23 January 2020

APA HUKUM KERAJAAN KUTIP CUKAI

Cukai ialah bayaran yang dikena­kan oleh kerajaan terhadap orang perseorang­an (perbadanan, syarikat, barang-barang dan lain-lain) untuk perbelanjaan negara dan lain-lain. Antara cukai yang dikenakan ialah cukai pendapatan, cukai tanah, cukai pintu, cukai perniagaan, cukai pelabuhan dan sebagainya.

Cukai dipungut atau dikenakan oleh hampir semua pemerintah di seluruh dunia sejak zaman dahulu. Namun, nama cukai itu berbeza-beza mengikut ditetapkan oleh pemerintah. Cukai menjadi sumber kewangan untuk pemerintah mentadbir negara.

Islam tidak terkecuali membincangkan soal penting ini. Namun, tidak ada hukum jelas mengenai cukai. Justeru, persoalan mengenai cukai adalah menurut ahli fiqh Islam berdasarkan ijtihad masing-masing.

Secara umumnya, para ulama fiqh terbahagi kepada tiga kumpulan dalam menentukan hukum kerajaan mengenakan cukai. Ia seperti berikut:-

1. Haramnya cukai secara mutlaq.

Mereka berhujjah berdasarkan dalil:

Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 188 yang mengharamkan memakan harta sesama manusia secara bathil. Justeru, pungutan cukai dianggap tergolong dalam pendapatan yang bathil kerana tanpa rela dan keperluan mendesak.

Sabda Nabi SAW yang menyebut:  "Janganlah kami menzalimi dan tiada halal harta seseorang muslim yang (diambil) tanpa disertai rela dan izin dari pemiliknya. (Riwayat Ahmad)

Justeru, mengambil cukai dari rakyat sedang rakyat tidak rela disebabkan pendapatan kerajaan yang mewah adalah tiada halal. 

Maksud hadis: "Telah datang kepada Nabi seorang wanita yang berzina yang ingin dilaksanakan hukuman had ke atasnya tetapi baginda menjawab, “Demi jiwaku pada tangan Allah, sesungguhnya wanita itu telah bertaubat yang sekiranya seorang pemungut cukai bertaubat juga akan diampunkan baginya." (Riwayat Muslim).

Justeru, pemungut cukai adalah haram kerana itu baginda Nabi menyebut ‘bertaubat’ menunjukkan ianya berdosa.

Dalam hadis lain yang bermaksud: "Sesungguhnya penguasa yang mengenakan ‘Maks’ (sebahagian menterjemahkannya sebagai cukai) adalah di dalam neraka. (Riwayat Ahmad: Sahih menurut Al-Suyuti)

2. Harus secara sementara waktu ke atas si kaya pada kadar tertentu di musim wujudnya keperluan.

Dalil mereka, sabda Nabi yang bermaksud: "Sesungguhnya pada harta itu ada kewajiban lain selain zakat (Riwayat Tirmizi – Daif menurut Al-Suyuti, Albani).

Berlandaskan Siyasah Syariiyyah yang digubal berdasarkan keperluan semasa. Sebagaimana fatwa Imam Malik yang berkata: "Wajib ke atas orang ramai menebus tawanan perang mereka walaupun mereka terpaksa menggunakan harta mereka sendiri (Ahkam al-Quran, Ibn Arabi, 60/1).

Imam Al-Qurtubi juga menguatkan hal ini dengan katanya “Sepakat ulama apabila wujudnya keperluan untuk kaum muslimin dalam sesebuah Negara iaitu selepas digunakan wang zakat dari baitul mal maka wajib pula dibantu dengan menyalurkan wang (dari cukai rakyat). (Tafsir Al-Qurtubi, 2/223).

Hal ini juga ditegaskan oleh Imam Al-Syatibi dalam kitabnya al-I’tisom. Imam Al-Ghazzali juga menyatakan yang sama apabila dia menyebut: Ertinya “Apabila sudah kosong milikan Negara dari harta, dan tiada lagi harta awam yang boleh memenuhi keperluan tentera, sehingga jika tentera terpaksa bekerja lain bagi mendapatkan pendapatan dan meninggalkan tugasan tentera, maka dibimbangi masuknya musuh ke neraka umat Islam atau pemberontakan fitnah, maka haruslah bagi pemerintah mengenakan kepada si kaya kadar (cukai) bagi memenuhi keperluan tentera. (Al-Mustasfa, 1/426)

Namun, konteks fatwa ini kelihatan tidak begitu menepati situasi Malaysia kerana negara kita masih tidak sampai ke tahap tersebut.

3. Harus mengenakan cukai pada sekadar memenuhi maslahat umum pentadbiran Negara.  

Pendapat ini dipegang oleh Sheikh Mahmud Syaltut, (Al-Fatawa al-Kubra, halaman 116), begitu juga Sheikh Abu a’la al-Mawdudi yang menyatakan, harus dikenakan cukai jika wang bayaran cukai itu adalah bagi kemaslahatan awam. (Nazariyat al-Islam, halaman 313).

Sheikh Dr. Yusuf Al-Qaradawi juga berijtihad harus dikenakan cukai bagi kemaslahatan awam sambil mengatakan perkataan ‘Maks’ di dalam hadis ancaman neraka itu oleh Nabi SAW itu membawa maksud khusus "iaitu jenis cukai yang difardhukan oleh sebahagian pemerintah untuk bersenang-senang mereka dengannya dan penyokong mereka walaupun menyempitkan rakyat mereka. (Fiqh al-Zakat, Qaradawi, 2/987)

Prof. Dr Ali Muhydin Al-Qurrah Daghi menyatakan Ini juga merujuk kepada sebahagian cukai yang dikenakan di zaman pemerintahan awal Islam seperti al-kharraj (cukai tanah), al-ushur (cukai perniagaan 10 % ke atas perniagaan non muslim) dan al-jizyah (cukai individu). Kesemua cukai ini digunakan sebaikanya untuk kepentingan dan kebaikan rakyat. 

Secara umumnya perbincangan hukum cukai dalam Islam tidak dapat lari dari menimbang di antara maslahat kebaikan dan kemudaratan darinya. Walaupun sewaktu wujudnya dalil-dalil berkaitan cukai, namun menurut majoriti ulama, nas yang berkait dengan urusan siasah dan pentadbiran mesti dilihat kepada illah atau sebab utamanya ianya disebutkan oleh Nabi SAW.

Melihat kepada objektifnya iaitu membawa lebih kebaikan berbanding kemudaratan. Beberapa jenis hukum dalam urusan muamalat boleh berubah dengan berubahnya masa dan zaman serta keperluan.

Namun apapun, kaedah fiqh ada menyatakan “Menolak Keburukan didahulukan dari Membawa Kebaikan (tambahan)”. Justeru, jika benar tanpa cukai, ekonomi negara bakal terancam, kelangsungan negara menjadi longgar, tatkala itu cukai boleh berubah menjadi harus dan hal ini boleh dinilai dari masa ke semasa.

No comments:

Post a Comment