Monday, 12 October 2020

MENANAM SEMULA ANAK PADI DI TAPAK SAWAH

Cedung atau mencedung ialah menanam semula pada di tapak sawah. Proses ini dilakukan apabila pokok anak padi dicabut dari tapak semaian dan dicedung semula di tapak sawah untuk pokok itu membesar dan mengeluarkan buah dan seterusnya matang dan dituai.

Proses mencedung pada masa dahulu antara aktiviti penting dalam proses penanaman padi. Biji padi yang dijadikan benih akan ditabur di tapak semaian. Apabila pokok tumbuh dan membesar, kedudukannya rapat-rapat. Jadi, untuk pembesaran yang baik, anak benih itu perlu dipindahkan dengan mencabutnya dan kemudian ditanam di tapak sawah. Proses menanam semula itulah dikenali sebagai mencedung atau cedung.

Namun, sekarang ini proses mencedung tidak lagi menjadi akvititi utama kerana perose menanam padi dilakukan secara tabur terus. Biji padi ditabur terus di tapak sawah dan akan membesar seterusnya membesar di tempat sama.

Bagaimanapun, jika terdapat kelompok anak benih yang tumbuh terlalu rapat dan ada kawasan yang tidak ada pokok padi tumbuh, maka anak benih yang rapat itu akan dicabut dan kemudian dicedung semula di tempat yang tiada anak padi atau kawasan kurang anak padi.

Kerja mencedung dilakukan dengan tangan memegang bahagian bawah anak benih dan kemudian ia akan dibenamkan di dalam selut atau tanah yang telah dibajak.

Di setengah tempat, kerja mencedung dilakukan dengan menggunakan ‘kaki kambing’. Anak benih padi akan diletakkan di celah ‘kaki kambing’ dan kemudian dicucuk atau dibenamkan ke dalam tanah. Kemudian ‘kaki kambing’ akan ditarik keluar dengan meninggalkan bahagian akar anak padi terbenam dan tertimbus di dalam tanah. 

No comments:

Post a Comment