Perdana Menteri, Tunku Abdul Rahman Putra al-Haj, pada 7
April 1967 telah menyempurnakan upacara peletakan batu asas sebagai tanda
permulaan fasa pembinaan baharu Hospital Kuala Lumpur bagi menggantikan
bangunan hospital lama yang telah berdiri sejak 1870.
Pada awal kewujudannya, ia adalah sebuah hospital daerah
yang memiliki 3 wad iaitu Wad Melayu, Wad Tai Wah dan Wad Choudry. Kemudian
pada 1920, ia dinaik taraf menjadi 25 wad terbahagi kepada Kelas Pertama (di
Bangsar), Kelas Kedua dan Kelas Ketiga.
Fasa pembinaan besar-besaran bermula pada 1962, melibatkan 4
fasa yang mengambil masa selama 13 tahun sehingga 1975. Fasa I menyaksikan
pembinaan Hospital Bersalin, Jabatan Radioterapi, Blok Wad Utara dan asrama
pekerja.
Fasa II (1968-1972) - Blok Wad Selatan, Institut Neurologi,
Blok Pembedahan, Blok Radiologi, Pusat Pemindahan Darah Negara dan lagi asrama
pekerja. Fasa III (1972-1973) - Klinik-klinik pakar, Jabatan Pesakit Luar dan
asrama doktor.
Fasa IV A (1973-1974) - Asrama jururawat pelatih dan rumah
kelab. Fasa IV B (1974-1975) - Institut Ortopedik, Institut Urologi, Pusat
Anggota Tiruan dan Blok Radiologi. Pada 1973, HKL mula menjadi hospital
pengajian untuk para pelajar jurusan perubatan UKM.
Hari ini, HKL berada di bawah pentadbiran Kementerian
Kesihatan Malaysia dan menjadi antara hospital terbesar di Asia Tenggara dengan
keluasan 150 ekar mengandungi 83 buah wad dan 2,502 buah katil.
Sumber: Arkib Negara Malaysia

No comments:
Post a Comment