Trend "6 7" (six-seven) ialah satu
slanga dan meme media sosial yang sering digunakan atau disebut oleh golongan
Gen Z dan Gen Alpha. Sebenarnya, istilah ini tidak membawa sebarang maksud
atau makna yang khusus.
Ia dikatakan berasal daripada lirik lagu "Doot Doot (6
7)" nyanyian penyanyi rap Skrilla.
Trend ini tular di TikTok dan Instagram
Reels apabila peminat menyunting lagu tersebut dengan video pemain bola
keranjang, LaMelo Ball, yang mempunyai ketinggian 6 kaki 7 inci (6'7").
Ia menjadi bahan jenaka (meme) di mana
kanak-kanak dan remaja secara rambang menjerit frasa "6 7" sambil
melakukan isyarat tangan berulang-alik.
Ada kalanya ia digunakan secara spontan sebagai cara untuk
mereka berinteraksi atau bergurau sesama sendiri, walaupun sering dianggap
sebagai gurauan kosong atau 'brainrot' di dalam bilik darjah.
Seperti kebiasaan, trend ini sekadar diamalkan dalam tempoh
masa tertentu sahaja dan akan hilang apabila ia telah dianggap
"lapuk" dan timbul trend lain pula.
Namun, sebagai bangsa dan masyarakat yang mempunyai teras budaya
dan adab yang lebih "murni" untuk diamalkan, adalah tidak wajar kita
turut terpengaruh dengan perkara yang dianggap tindak mempunyai apa-apa nilai
itu.
Lebih malang apabila ada di kalangan menteri dan ahli
politik turut melakukan perbuatan itu yang kononnya untuk menyelami atau
memahami trend golongan muda.
Lebih membimbangkan apabila budaya ini sengaja
dinormalisasikan atas nama “mendekati rakyat”.
Rakyat inginkan pemimpin yang mampu membawa hujah, dasar dan
penyelesaian. Bukan untuk berlumba siapa paling mengikuti perkembangan terkini
generasi muda yang tidak mempunyai apa-apa faedah untuk membina jati diri anak
bangsa.
Amalkan perbuatan meletakkan tangan kanan di bahagian dada
di sebelah kiri yang memberi maksud tanda hormat dan kesopanan. Ia juga lambang
kepada semangat patriotisme.
Tidak perlulah pemimpin membawa trend 6 7 yang mengarut
dalam masyarakat kita.
Gambar sekadar hiasan


No comments:
Post a Comment