Sad al-zariah adalah
sebahagian sumber hukum yang diterima pakai dalam Islam. Pun begitu, Sad
al-zariah termasuk dalam kategori sumber hukum yang diperselisihkan. Sad
al-zariah berasal dari perkataan sad dan al-zariah.
Dari segi bahasa, sad
memberi maksud sekat atau halang. Manakala al-zariah bermaksud jalan.
Dari segi istilah mengikut al-Qarrafi, sad al-zariah ialah menghentikan
jalan-jalan yang pada kebiasaannya menuju kerosakan.
Perkara ini dapat difahami
antara lain berdasarkan kepada firman Allah SWT dalam surah al-Anam, ayat 108
yang bermaksud: “Allah melarang mencaci tuhan-tuhan orang kafir supaya mereka
tidak mencaci Allah.”
Dengan kata lain, segala perbuatan
yang boleh membawa ke arah mafsadah atau kerosakan, maka ia ditegah dalam
Islam.
Ulama telah membahagikan
mafsadah kepada beberapa kategori atau tahap.
Tahap pertama ialah apa
yang ditegah nyata membawa keburukan mutlak kepada masyarakat, contohnya
larangan merosakkan harta benda orang lain atau awam.
Dalam amalan di Malaysia, kerajaan melarang dilakukan pembalakan haram kerana
ia mendatangkan kesan buruk kepada alam sekitar kerana boleh merugikan dan
mendatangkan mudarat seperti kesan kekurangan bekalan air apabila hutan yang
menjadi tapak tadahan hujan dirosakkan.
Tahap kedua ialah
perbuatan haram dilakukan untuk mendapat maksud yang harus, contohnya melakukan
jenayah mencuri untuk diberikan kepada orang lain.
Dalam hal ini konsep yang
sedemikian boleh disamakan seperti matlamat menghalalkan cara, sedangkan
sebenarnya apapun matlamat yang ingin dicapai, mastilah berdasarkan cara dan
kaedah yang betul.
Kategori ketiga pula ialah
perkara yang ada keburukan, tetapi kemaslahatannya lebih menonjol. Contohnya
diharuskan memakan bangkai sekadar untuk menolak perkara buruk, contohnya maut
jika tidak memakannya disebabkan tidak ada sumber makanan lain.
Inilah antara alasan yang diberikan oleh kerajaan apabila membenarkan
penerokaan tanah baharu untuk pertanian atau penempatan. Walaupun tindakan itu
merosakkan alam semula jadi, tetapi kesan kebaikan perbuatan itu lebih
diperlukan.
Manakala tahap keempat
pula ialah perkara yang ada unsur masalahah, namun unsur keburukannya adalah
lebih banyak. Contohnya, seseorang yang ditegah memandu laju biarpun kebaikan
akan menyebabkan cepat sampai, tetapi perbuatan itu boleh membahayakan diri
sendiri dan orang lain.
Maka perbuatan itu ditegah atau haram. Oleh sebab itu, di Malaysia terdapat had
laju ditetapkan berdasarkan kepada kesesuaian di sesuatu tempat.
Gambar: Apa hukum mengambil buah pisang yang padanya ada bahaya sarang tebuan
No comments:
Post a Comment