Monday, 18 April 2022

BAHANA KETAASUBAN MELAMPAU DALAM BERAGAMA

 
Antara punca terbesar kemunduran umat Islam hari ini adalah hilangnya kesederhanaan dan menjadi melampau dalam beragama.

Kemudian unsur-unsur keterlampauan ini dijadikan alat oleh pihak tertentu untuk mengambil kesempatan terhadap kejahilan orang ramai. Maka, lahirlah ajaran sesat di mana pengikutnya taasub, fanatik dan ”mensucikan” ketuanya.

Islam melarang umatnya daripada berlaku taasub dan melampau. Islam mengajar kesederhanaan. Ketaasuban telah menyesatkan banyak manusia dari jalan yang betul.

Firman Allah SWT yang beramksud: “Katakanlah: Wahai Ahli Kitab! Janganlah kamu melampau dalam agama kamu secara yang tidak benar, dan janganlah kamu menurut hawa nafsu suatu kaum yang telah sesat sebelum ini dan telah menyesatkan banyak manusia, dan juga (sekarang) mereka telah tersesat (jauh) dari jalan yang betul.” (Surah Al-Maidah, ayat 77).

Kerana itulah, Rasulullah SAW menekankan kepada kita bahawa bersikap sederhana dalam setiap urusan itu akan lebih selamat. Tidak melampau dan tidak pula mengambil mudah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya agama (Islam) itu mudah, dan tidaklah sama sekali seseorang yang tasyaddud dalam beragama melainkan pasti agama itu akan mengalahkannya, oleh sebab itu hendaklah kamu menepatinya dan menghampirinya dan bergembiralah (dengan berita itu). Dan mohon pertolonganlah kamu dengan waktu pagi dan petang dan sedikit daripada waktu malam. (Hadis riwayat al-Bukhari).

Kebenaran itu bukan terletak pada susuk tubuh individu ataupun mana-mana kumpulan. Kebenaran tertegak dengan bukti, dalil dan hujah. Bukan kerana jawatan dan banyaknya pengikut.

Keadilan hanya mampu ditegakkan apabila kebenaran menjadi matlamat utama dalam merungkai segala masalah dan menyelesaikan setiap polemik yang timbul.

Sebaliknya, penyokong yang taasub menyokong sepenuhnya apa diperkatakan pemimpin ‘suci’ mereka tanpa menyelidik dan tidak sesekali-kali membantah.  

Ketaasuban hanya akan mencampakkan manusia ke lembah kesesatan dan melampau dalam beragama. Fikiran dan pandangan mereka tersasar daripada memikir dan melihat perkara yang benar. 

No comments:

Post a Comment