Puasa
sebulan, raya pun sebulan. Bahkan, ada yang masih ada rumah terbuka selepas
Syawal disebabkan tidak sempat mengadakan pada bulan Syawal. Benarkah raya
pun sebulan kerana puasa sebulan?
Sebenarnya
tidak begitu. Raya yang dianjurkan atau disebut sebagai Aidilfitri hanya pada 1
Syawal. Pun begitu tidak salah untuk terus merayakan untuk maksud kebaikan.
Budaya
sambut Aidilfitri secara meriah dan berterusan dalam tempoh panjang sebenarnya
hanya berlaku di Nusantara. Di negara Arab, sambutannya hanya dua atau tiga
hari saja. Selebihnya dalam bulan Syawal mereka melakukan puasa sunat enam dan
aktiviti seperti bulan lain.
Aidilfitri
adalah hari kemenangan setelah berjaya melawan hawa nafsu sepanjang
melaksanakan ibadat puasa Ramadan. Pari kemenangan itu perlu disambut dengan
perasaan gembira, namun dalam batasan syariat.
Pada hari kemenangan itu disunat perbanyakkan istighfar, tasbih dan tahmid,
sebaik berakhirnya Ramadan terutama menjelang malam raya sehinggalah ke pagi
hari raya.
Sabda
Rasulullah SAW yang bermaksud: "Sesiapa yang menghidupkan dua malam raya
(Aidilfitri dan Aidiladha) dengan takbir dan ibadah, tidak dimatikan hatinya
pada hari dimatikan segala hati." (Hadis riwayat Ibnu Majah)
Malang
sekali apabila malam raya dan hari-hari seterusnya disambut dengan bunyi mercun
dan bunga api. Riuh bunyi detuman mercun dan bunga api memecah kesunyian malam.
Ternyata sekali itu bukan tuntutan agama. Islam menegah melakukan perkara yang
membazir dan membahayakan keselamatan.
Aidilfitri
bukan sambutan berdasarkan adat dan kehendak nafsu, sebaliknya satu anugerah
yang termasuk dalam ibadat. Sebab itu, sambutan perlu dilakukan mengikut
tuntutan syariat dengan memperbanyakkan kebaikan dan menjauhkan apa yang
dilarang.
Namun dalam melaksanakan amalan sepanjang merayakan Aidilfitri hendaklah kita
mengetahui mana amalan sunah Rasulullah SAW dan mana pula yang menjadi ritual
atau adat dalam masyarakat.
Sungguh
jauh berbeza antara Aidilfitri yang disambut sebagai ibadat dengan yang hanya
berupa adat. Setiap ibadat adalah mengikut apa disyariat, melakukan kerana
Allah SWT dan tidak bercampur dengan perkara maksiat. Sedangkan adat mengikut
kebiasaan yang diamalkan sejak turun temurun dalam masyarakat.
Tidak
dilarang untuk terus menyambut atau melakukan acara yang dikaitkan dengan
sambutan Aidilfitri selepas tarikh 1 Syawal selagi apa yang dilakukan itu tidak
bertentangan syariat.
Beraya
sepanjang Syawal bukan tuntutan syariat. Pun amalan itu tidak pula ditegah. Apa
yang diamalkan beraya sebulan dalam masyarakat kita adalah adat. Oleh itu jangan
terkeliru antara adat dan ibadat.
Adat
yang dilakukan untuk kebaikan tidak ditegah, bahkan digalakkan. Ganjaran pahala
bergantung kepada niat ikhlas mencari kebaikan dan keredaan Allah SWT, tetapi
mesti tidak bertentangan dengan syariat.
Ibadat
dan adat, kedua-duanya dipatuhi dalam masyarakat kita, tetapi sumber hukumnya
berbeza. Ibadat bersumberkan daripada perintah Allah SWT, sementara adat
pula bersumberkan kehendak dan kebiasaan dalam masyarakat yang menjadi amalan
turun-temurun.
Kejahilan
pengetahuan mengenai agama menyebabkan ada ibadat menjadi adat, tidak mendapat
apa-apa pahala biarpun dilakukan dengan penuh syaratnya, kecuali niat yang
lebih menjurus kepada adat.
Pun begitu, perlu diketahui ada adat yang
menjadi ibadat atau diterima sebagai satu amalan dalam Islam.
No comments:
Post a Comment