Wednesday, 19 February 2025

DAP BERDEPAN CABARAN IDEOLOGI

 
Keahlian Parti Tindakan Demokratik (DAP) terbuka kepada semua rakayt Malaysia tanpa mengira kaum dan agama. Namun, majoriti pemimpin dan ahlinya adalah kaum Cina. Sebab itu, DAP sinonim dengan kaum Cina dari segi idologi dan perjuangan.
 
DAP dilihat amat kental memperjungkan Malaysia yang bebas, adil, berdasarkan prinsip demokrasi, hak asasi manusia, keadilan sosial, kepelbagaian budaya dan tadbir urus yang baik seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
 
Namun, perjuangan itu banyak tersasar daripada apa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dalam beberapa Perkara seperti hak orang Melayu, agama Islam, bahasa Melayu dan raja-raja.
 
Inilah yang menjadi titik “perbalahan” antara DAP dan UMNO sejak dahulu. Namun, setelah kedua-dua parti itu berada dalam Kerajaan Perpaduan, ia seperti semakin mencapai titik persamaan, biarpun tidak pernah reda dalam isu-isu yang selama ini sebati dalam DAP.
 
Hubungan DAP dan UMNO sentiasa timbul “krisis” dan perkara ini sering dihangatkan pula oleh parti lawan dan ahli-ahli kedua-dua parti yang tidak setuju dalam isu tertentu.
 
Di sebelah DAP sendiri, terdapat sekelompok pemimpin dan ahli yang tidak setuju kerjasama dengan UMNO yang mereka lihat sebagai menggadai perjuangan selama ini apabila lebih banyak mengalah kepada UMNO.
 
Biarpun DAP menjadi sebahagian parti pemerintah, namun apa yang diharapkan oleh sebahagian ahli tidak dapat ditunaikan. Maka sebahagian pemimpin dan ahli DAP berpecah menjadi berpuak-puak kerana tidak berpuas hati dengan keadaan sekarang.
 
Ternyata penyertaan UMNO dalam Kerajaan Perpaduan memberi kesan yang besar kepada keutuhan dan kedudukan Melayu serta Islam yang diperjuangkan selama ini oleh parti itu. Ia secara tidak langsung juga memperteguhkan kedudukan raja-raja dan bahasa Melayu.
 
Keberadaan UMNO dilihat sebagai penghalang kepada cita-cita sebahagian pemimpin dan ahli DAP untuk berkuasa mutlak dalam kerajaan. Maka, bagi kelompok pemimpin dan ahli DAP yang berfahaman sedemikian berusaha untuk menyingkirkan pemimpin tertinggi DAP sekarang yang dilihat lemah dan telah hilang kekuatan ideologi yang diperjuangkan selama ini.
 
DAP perlu bijak menangani cita-cita golongan tegar dengan ideologi kiasu. Golongan kiasu berpaksikan kepada cita-cita ekstrim yang boleh memecah belah keharmonian hubungan rakyat Malaysia.
 
DAP perlu belajar bagaimana mengurus kuasa. Kuasa bukan untuk bertindak sesuka hati, sebaliknya satu cabaran bagaimana menjadi lebih baik. Kuasa yang disalah guna boleh menyebabkan berlaku rasuah, ego, salah guna kuasa dan sebagainya.
 
Malah, ada induvdu menyertai DAP disebabkan melihat parti itu semakin berkuasa. Ada  individu Melayu yang berminat menyertai DAP bukan kerana perjuangan parti, tetapi semata-mata ingin menggunakan jalan mudah untuk menjadi calon pilihan raya.  
 
Jika bertanding di kawasan yang mempunyai peratusan pengundi Cina yang tinggi, mereka pasti menang. DAP perlu berhati-hati dalam soal ini agar tidak dikuasai golongan yang menyertainya semata-mata ini kedudukan dan kuasa.  

No comments:

Post a Comment