Tidak banyak orang dapat mengenali moyang, iaitu bapa atau
ibu kepada datuk. Bahkan, ada yang tidak sempat pun untuk mengenali datuk
masing-masing. Genarasi muda sekarang mungkin berpeluang untuk melihat datuk
dan moyang melalui gambar atau video.
Satu lagi cara "kenal" datuk dan moyang ialah
dengan melawat kubur mereka. Ibu bapa atau orang dewasa yang mengetahui tentang
kubur datuk moyang perlu menunjukkan lokasi kubur itu kepada anak, cucu dan
cicit.
Cara itu dapat mengingatkan mereka tentang asal usul dan
keturunan mereka. Melawat kubur akan mengingatkan kita tentang siapa kita
sebenarnya.
Islam memang menggalakan umatnya melawat kawasan perkuburan,
lebih-lebih lagi kubur ahli keluarga. Amalan itu bertujuan untuk mengingati
kematian, memohon rahmat untuk ahli kubur, dan mengambil iktibar.
Hukum melawat kubur adalah sunat bagi lelaki, manakala bagi
wanita, terdapat perbezaan pendapat tetapi kebanyakannya mengatakan makruh,
kecuali mazhab Hanafi dan beberapa ulama lain yang membenarkan, terutamanya
untuk ahli kubur yang terdekat seperti ibu bapa dan saudara mara.
Tujuan melawat tanah perkuburan untuk menginsafi asal usul
manusia, mengingati hari kematian, dan mengambil iktibar dari apa yang berlaku.
Sesungguhnya, kematian itu ada pasti kepada setiap yang
bernyawa, termasuklah manusia. Firman Allah SWT bermaksud: Dia lah yang telah
mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) – untuk menguji dan menzahirkan
keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya.” (Surah al-Mulk,
ayat 2)
Imam Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat di atas, beliau
membawakan satu riwayat daripada jalur Ma‘mar, daripada Qatadah bahawa
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak
keturunan Adam dengan kematian, dan Allah menjadikan dunia sebagai tempat
kehidupan lalu menjadi tempat kematian bagi manusia, dan akhirat sebagai tempat
dibalasnya (apa yang dilakukan di dunia) dan menjadi tempat yang
kekal.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)
Asalnya amalan melawat kubur adalah ditegah Kami dahulukan
makalah tulisan ini dengan sabdaan junjungan agung, Rasulullah SAW menerusi
hadis yang diriwayatkan oleh Buraidah bin al-Husaib al-Aslami bahawa Baginda
bersabda: “Aku pernah melarang kalian daripada menziarahi perkuburan, namun
kini, ziarahilah ia (tanah perkuburan).” - (Hadis riwayat Muslim (1977)
Imam ‘Abd al-Ra’uf al-Munawi mensyarahkan hadis di atas
dengan menyebutkan: “Arahan ini ditujukan kepada lelaki secara khususnya, dan
ia dimakruhkan buat wanita dengan makruh tahrim sekiranya mereka melakukan
perbuatan tangisan, ratapan dan kesedihan yang melampau di kawasan perkuburan.
Jika tidak, maka makruhnya adalah pada tahap tanzih semata. Dan kemakruhan bagi
wanita ini dikecualikan bagi kubur para Nabi, maka disunatkan bagi mereka untuk
menziarahinya, begitu juga kubur para auliya’ Allah.” (Lihat Faidh
al-Qadir, 6/289)
Jelaslah kepada kita akan anjuran menziarahi kubur di sisi
syariat Islam bertujuan untuk mengingati kematian dan mengenang negeri akhirat
yang kekal abadi.
Manakala melawat kubur keluarga adalah bertujuan
mengingatkan asal usul dan menyedarkan bahawa hubungan kekeluargaan bukan
sahaja perlu dijaga ketika masih hidup, bahkan selepas kematian untuk kita
berterima kasih kepada mereka dan berusaha untuk menjaga warisan yang ditinggalkan
terutamanya hubungan keluarga atau saudara mara.

No comments:
Post a Comment