Thursday, 30 January 2025

LANGGAR RINDU, SURAU UNIK DI TERENGGANU

 
Banyak orang tidak tahu bahawa perkataan “langgar” juga membawa maksud surau atau madarasah, selain maksud yang difahami ramai iaitu pelanggaran. Maksud lain langgar ialah pemakaman diraja.

Sebuah surau di Rhu Tapai, Merang, Terengganu dikenali dengan nama Langgar Rindu. Memandangkan “langgar” sudah bermaksud “surau”, jadi tidak tepat jika disebut namanya “Surah Langgar Rindu”, melainkan ia dijadikan nama khas.

Langgar Rindu mula dibina pada Mac 2014 dan mula digunakan pada sekitar tahun 2020. Ia dibina oleh Abdul Karim Embong, seorang yang meminat dunia kesusasteraan, yang turut mencintaan kerja-kerja keagamaan.

Sesiapa sahaja yang melihat binaan Langgar Rindu pasti akan kagum dengan keunikan binaannya yang melambangkan kesungguhan dan keikhlasan Abdul Karim membinanya.

Langgar Rindu adalah lebih daripada sekadar bangunan. Ia adalah warisan, pusat komuniti, dan saksi kepada keindahan seni dan rohani yang dapat dicapai melalui dedikasi dan kecintaan terhadap seni bina kayu tradisional. 

Dengan keindahan ukiran kayunya yang halus, arsitektur yang unik, dan peranannya yang penting dalam kehidupan sosial dan budaya masyarakat setempat, surau ini patut dikekalkan untuk dinikmati oleh generasi akan datang.

Bagi pencinta seni dan warisan budaya, Langgar Rindu adalah destinasi yang wajib dikunjungi di Terengganu.

Struktur surau ini sangat unik kerana dibina menggunakan kayu tembusu terbuang dan kayu cengal yang berusia lebih 300 tahun.

Abdul Karim membinanya dengan usaha dan tenaga sendiri. Ilham rekaan surau ini muncul secara spontan tanpa sebarang pelan lakaran. Surau ini dibina bagi komuniti setempat serta sebagai tempat persinggahan solat bagi musafir.

Dek kerana keunikan Langgar Rindu yang memukau pandangan itu, ia turut mendapat perhatian pengunjung bukan Islam yang sangat mengkagumi keindahan seni binanya untuk merakam foto dan video sebagai kenangan berkunjung ke Terengganu. 

Selain itu, ramai pengunjung yang menghulurkan sumbangan bagi membiayai pembinaan dan pengurusannya. Bukan Islam juga tidak ketinggalan memberi sumbangan biarpun mengetahui ia bertujuan untuk pendidikan Islam.

Sesungguhnya, niat ikhlas semata-mata hanya kerana Allah akan dipermudahkan untuk mencapai apa yang diimpikan.

Ternyata, Langgar Rindu kini menjadi satu lagi destinasi tumpuan pelancong di Terengganu, khususnya di Rhu Tapai, Merang. 

No comments:

Post a Comment