Saturday 28 November 2020

UBI KAYU DIGENANGI AIR MESTI DICABUT SEGERA

Siapa yang tanam pokok ubi kayu perlu bertindak segera untuk menggali atau mencabut pokok tersebut jika ia digenangi air. Pokok ubi kayu memang ‘manja’ tidak tahan digenangi air, tidak kisahlah sedalam mana, asakan tempat itu ada air bertakung biarpun sekadar satu inci.

Jika pokok ubi digenangi air lebih tiga hari, ubi yang ada di dalam tanah itu akan ‘carak’ atau rosak. Ubi kayu mengalami carak tidak lagi sesuai untuk dimakan kerana sudah busuk atau berbau tidak enak.

Jadi, petani atau sesiapa yang ada pokok ubi kayu ‘wajib’ mencabutnya biarpun terpaksa berhujan ataupun biar begitu sahaja menjadi rosak. Antara tanda ubi kayu telah terkesan dengan air ialah daunya bertukar menjadi kuning dan layu. 

Ubi kayu biasanya sudah boleh dituai hasilnya setelah ditanam kira-kira enam bulan sehingga 8 bulan mengikut jenis. Kalau ditanam di  tanah subur, hasilnya sudah boleh dituai setelah enam bulan ditanam.

Ubi kayu yang telah dituai boleh disimpan lebih seminggu jika diletakkan di tempat kering dan tidak ada bahagian yang dipotong. Kalau ada bahagian dipotong, ubi itu akan mudah ‘masuk’ angin dan mudah rosak.

Ubi kayu sedap direbus kosong. Selain itu boleh juga dibuat pengat, digoreng ataupun jenis makanan lain. Di Kelantan, ubi kayu pada musim tengkujuh banyak dijadikan bahan membuat putu halba.


No comments:

Post a Comment